JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Teo Jin Sang, 24 tahun, menceritakan perjalanan hidupnya yang luar biasa hingga berjaya meraih anugerah kelas pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dengan Kepujian.
“Kejayaan ini bukan sahaja milik saya, tetapi juga kakak kembar saya, Teo Jin Xuan. Kami berdua amat bangga dapat menamatkan pengajian bersama-sama dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-68,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.
Sebagai kembar tak seiras, ramai yang tidak dapat mengenali mereka pada pandangan pertama. Namun, hubungan mereka terbukti kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran akademik.
“Sejak awal pengajian, kami saling menyokong dalam setiap aspek, menjadikan perjalanan ini lebih bermakna,” kata Teo Jin Sang, menggambarkan ikatan kekeluargaan yang erat.
Kisah mereka bermula selepas tingkatan 6. “Apabila kami mengisi permohonan UPU, semua orang menjangkakan kami mungkin terpisah ke universiti yang berlainan. Namun, rezeki membawa kami ke universiti dan jurusan yang sama,” tambahnya.
Lebih menggembirakan, mereka ditempatkan di kolej kediaman dan bilik yang sama , memberi peluang untuk terus saling membantu. Mereka berpegang kepada prinsip “usaha tangga kejayaan.” Dengan sikap rendah hati dan semangat belajar yang tinggi, kedua-duanya berusaha mencapai prestasi akademik yang cemerlang.
“Kami terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti di fakulti, termasuk menjadi ahli jawatankuasa penganjuran program. Ini membantu kami menjalin hubungan baik dengan rakan sekelas dan pensyarah,” ujarnya.
Salah satu pengalaman paling berharga bagi mereka adalah penyertaan dalam Program UGRP sejak tahun kedua.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Prof Madya Dr. Raja Kamarulzaman atas bimbingan beliau. Dengan bimbingan beliau, kami dapat menjalankan kajian industri yang meningkatkan kemahiran analisis kami,” kata Teo Jin Sang.
Pengalaman ini juga membantu mereka menyiapkan projek akhir tahun dengan standard tinggi, di mana Teo Jin Sang berpeluang menerima anugerah Pembentang Terbaik.
Pencapaian Teo Jin Sang juga diiktiraf apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen UTM ke-68. Pengiktirafan ini merupakan tanda pencapaian tertinggi seorang pelajar, yang diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, dan sumbangan kepada universiti.
“Anugerah ini adalah satu penghormatan yang tidak ternilai buat saya, keluarga, dan kakak kembar saya. Ia menjadi bukti bahawa usaha gigih dan sokongan orang tersayang mampu membawa kejayaan yang luar biasa,” katanya dengan penuh rasa rendah hati.
Akhirnya, mereka amat bersyukur kerana dapat saling menyokong dalam setiap aspek, bukan sahaja akademik tetapi juga dalam kokurikulum.
“Hubungan kami sebagai kembar telah memberikan banyak kelebihan dalam mencapai kejayaan,” ujar mereka.
Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, Teo Jin Sang dan Teo Jin Xuan bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup, berharap dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan dan generasi muda yang akan datang.