JOHOR BAHRU, 19 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) julung-julung kalinya meraikan sambutan Hari Tandas Sedunia 2024 dengan penganjuran Pertandingan Penarafan Tandas Berseri. Penganjuran program ini merupakan inisiatif dalam mempromosikan kebersihan dan kesedaran tentang kepentingan penjagaan tandas yang selamat serta sihat bagi warga di kampus.
Majlis perasmian dan juga penyampaian hadiah yang diadakan di kampus UTM Johor Bahru ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa dan dihadiri oleh Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Dr. Yusof Boon, Pengarah Program Tandas Berseri, Tandas Kita, Qamaruzaman Mohd Noor, serta barisan pegawai, kakitangan, dan warga kampus yang hadir bagi menyokong usaha menjaga kebersihan fasiliti tandas universiti. Dalam ucapan pengarah program, beliau menekankan kepentingan kesedaran mengenai peranan tandas dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.
Pengerusi BPA juga turut mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan tandas adalah tugas bersama seluruh komuniti kampus, bukan sekadar bergantung kepada jabatan kesihatan atau pihak pengurusan. “Dengan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan penggunaan tandas yang betul, kita dapat mengurangkan penyebaran penyakit yang sering dikaitkan dengan tandas yang tidak bersih,” katanya.
Di UTM, terdapat lebih 3,000 tandas di pelbagai kampus; antaranya 2,012 tandas di UTM Johor Bahru, merangkumi bangunan akademik dan kolej. Pertandingan Tandas Berseri ini melibatkan sebanyak 53 lokasi tandas dari Pejabat Tanggungjawab (PTJ) UTM Johor Bahru, PTJ UTM Kuala Lumpur, dan PTJ UTM Pagoh, dengan kategori penilaian untuk tandas di zon akademik/pejabat dan zon kolej.
Program ini mendapat sokongan BPA, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), serta 12 orang panel penilai yang telah meneliti penilaian kebersihan, pengurusan, dan keselesaan setiap tandas yang dipertandingkan.
Pemenang bagi kategori Pejabat atau Bangunan Akademik tempat pertama dirangkul oleh Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) dengan penarafan 4 bintang, pemenang membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM300 serta sijil. Tempat kedua adalah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan penarafan 4 bintang dan membawa pulang wang tunai RM200 serta sijil dan terakhir tempat ketiga disandang oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Pembangunan dengan penarafan 4 bintang dan membawa pulang wang tunai RM100 serta sijil.
Manakala, bagi kategori Kolej, tempat pertama disandang oleh Kolej Tun Fatimah (KTF) dengan penarafan 4 bintang dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM300 serta sijil. Tempat kedua adalah dari Kolej Rahman Putra (KRP) yang membawa pulang wang tunai RM200 serta sijil. Manakala tempat ketiga dirangkul oleh Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) yang membawa pulang wang tunai RM100 serta sijil.
Pengerusi BPA juga menyeru semua pihak agar meneruskan usaha menjaga kebersihan fasiliti tandas demi kesejahteraan bersama. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta pertandingan dan berharap sambutan seperti ini dapat memupuk lebih banyak kesedaran dan komitmen dalam menjaga kebersihan di masa hadapan.