JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Kisah sebuah keluarga yang berkongsi DNA Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan kepercayaan teguh mereka terhadap institusi ini dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan membina masa depan yang lebih baik. Bermula dengan ibu dan bapa, kedua-duanya alumni UTM, tradisi ini diteruskan oleh anak-anak mereka, menjadikan UTM sebagai pemangkin hubungan generasi.
Ibu, seorang graduan UTM tahun 1996 dalam bidang Pengurusan, dan bapa, graduan tahun 1995 dari Fakulti Kejuruteraan Awam, bertemu di kampus UTM ketika kemasukan ke universiti masih menggunakan permohonan secara dalam talian dan surat jemputan.
Walaupun kedua-duanya berasal daripada industri, peluang menyambung pengajian di UTM membuka jalan ke arah perjalanan hidup yang lebih bermakna.
Kakak kepada Ahmad Najmi Abdul Razak juga meneruskan tradisi keluarga ini apabila menjadi alumni UTM pada tahun 2023 dari Fakulti Teknologi & Informatik Razak bagi ijazah sarjana.
Sebelum bergelar alumni UTM, Ahmad Najmi memulakan pengajian di UTM SPACE bagi program diploma, kemudian menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Senibina dengan Kepujian dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).
Keputusan ini diambil kerana kesinambungan kursus yang tersedia di UTM SPACE memudahkannya mencapai impian akademik. Menariknya, Najmi pernah menetap di Kolej Rahman Putra (KRP) yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Meranti, kolej yang sama pernah dihuni bapanya suatu ketika dahulu. Kenangan ini mencetuskan deja vu yang menghubungkan dua generasi melalui pengalaman yang sama.
Najmi memulakan perjalanan akademiknya di UTM SPACE untuk program diploma selama tiga tahun. Pengecualian subjek diploma membolehkan beliau menyelesaikan ijazah sarjananya dalam tempoh dua tahun sahaja.
Ilmu dan pengalaman bapanya dalam kejuruteraan awam menjadi panduan penting bagi Najmi dalam memahami konsep pembangunan dan menerapkannya dalam kursus seni bina.
Pengajian dalam bidang Senibina di UTM bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan hanya satu atau dua peperiksaan, pelajar perlu bergantung kepada kerja kursus yang sangat mencabar, sehingga 8-9 jam kredit.
Selain itu, sebagai pelajar di universiti penyelidikan, setiap tugasan memerlukan kajian yang mendalam. Najmi berjaya menyiapkan projek tahun akhirnya bertajuk “Hobby Center,” yang bertujuan menangani masalah sosial kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada gajet.
Projek ini mencadangkan ruang yang memupuk kreativiti, kemahiran sosial, dan koordinasi melalui pelbagai aktiviti hobi.
Pada majlis konvokesyen Najmi, nostalgia semakin terasa apabila keluarga beliau turtu menyewa jubah konvokesyen dan merakam detik istimewa sebagai simbolik keluarga yang berkongsi pengalaman di universiti yang sama.
Kisah keluarga ini membuktikan bahawa UTM bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga sebuah tempat yang menyatukan aspirasi generasi dan melahirkan individu yang berdaya saing serta bermakna.
Kepercayaan ibu bapa Najmi terhadap UTM untuk membimbing anak-anak mereka menjadi inspirasi kepada ramai, bahawa pendidikan berkualiti mampu mengubah masa depan dan membina hubungan abadi.