November 19, 2024

Search
Close this search box.
IMG

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengekalkan prestasi terbaik dalam penghasilan graduan berkualiti tinggi apabila terus mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100%, tertinggi di Malaysia dalam kategori graduan berpendapatan premium dan berkemahiran tinggi.

Pencapaian ini dikongsikan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dalam ucapannya sempena Majlis Konvokesyen Ke-68 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

“Kadar kebolehpasaran graduan UTM yang mencapai 100% bukan sekadar angka, tetapi bukti keunggulan graduan Universiti ini yang mampu menjadi pemimpin masa hadapan dalam mencipta perubahan yang lebih baik dan mampan,” ujarnya.

Majlis ini turut meraikan kejayaan 7,499 graduan, termasuk 1,149 graduan antarabangsa dari 56 negara, menjadikan jumlah keseluruhan alumni antarabangsa UTM kini seramai 12,450 orang daripada 107 negara.

Dalam ucapannya, Datuk Ahmad Fauzi turut menekankan kejayaan lain UTM, termasuk pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pada Mei 2024 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Fakulti ini bukan hanya institusi, tetapi menjadi simbol revolusi teknologi masa depan selain peneraju kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan yang bakal mengubah landskap dunia,” ujar beliau.

Tambah Datuk Ahmad Fauzi, graduan bukan sahaja membawa pulang segulung ijazah, tetapi juga amanah untuk menjadi pemimpin masa depan. Pintu UTM sentiasa terbuka untuk anda kembali dan berkongsi pengalaman demi kemajuan watan.

Dalam pada itu, UTM turut melonjak ke tangga ke-181 dalam QS World University Rankings 2025. Pencapaian ini adalah tertinggi dalam sejarah bagi Universiti ini.

Datuk Ahmad Fauzi menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil dedikasi seluruh warga UTM dalam memastikan intistusi ini terus gah sebagai universiti bertaraf antarabangsa.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UTM kali ini turut membawa graduan dari Qaiwan International University (QIU), Iraq untuk bergraduasi pada sesi terakhir Khamis ini. Kohort ke-2 program kerjasama antarabangsa UTM-QIU yang seramai 63 orang graduan ini merupakan hasil kerjasama antara UTM dengan QIU melalui SPACEUTM.

Explore More