November 19, 2024

Search
Close this search box.
image ()

Graduan OKU luar biasa tonjol semangat juang tinggi tamatkan pengajian

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ke-68 kali ini menyaksikan sebuah kisah inspirasi yang menonjolkan semangat juang, ketekunan, dan daya tahan seorang graduan berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Beliau bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, tetapi juga membuktikan kemampuannya dalam bidang sukan, memperlihatkan bahawa keterbatasan bukanlah halangan untuk berjaya.

Nazihah binti Surati, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Sains Komputer dengan Kepujian, 25 akui perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Seringkali berhadapan dengan cabaran kerana mempunyai “profound hearing disability”, keupayaan pendengarannya terhad kepada 30 peratus. 

“Saya menggunakan “hearing aids” yang dipasangkan secara plug and play di kedua pasang telinga. Namun masih memiliki banyak kelemahan dan kekurangan.”

“Antara cabaran yang saya hadapi sepanjang tempoh pengajian di UTM adalah kuantiti pelajar yang ramai di dalam bilik kuliah, menyukarkan saya untuk membaca paparan pengajaran pensyarah di samping keterbatasan audio yang agak sedikit menyulitkan saya.

 “Sifat cekal dan berani untuk sentiasa kehadapan dan bertanya serta berkongsi kekangan secara terbuka bersama pensyarah dan rakan-rakan kuliah di sepanjang pengajian merupakan satu langkah yang panjang bagi melengkapkan pengajian ini” ujar Nazihah.

Di sebalik cabaran akademik, graduan ini juga mempunyai satu lagi keistimewaan— beliau merupakan seorang atlit yang aktif dalam acara tenpin boling di kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).

Kehadiran beliau dalam arena sukan menunjukkan bahawa kekurangan fizikal tidak menghalangnya daripada bersaing dan mencapai kejayaan. Setiap kejayaan yang dicapainya merupakan bukti kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa.

“Setiap langkah kejayaan saya sepanjang pengajian tidak akan lengkap tanpa menyebut jasa besar penyelia saya, Dr. Yusliza Yusoff dan Puan Nor Azliana Ramali. Mereka antara individu yang sentiasa memberikan bimbingan, dorongan, dan semangat untuk terus maju walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran” ujar Nazihah dalam meneliti perjuangan pengajiannya.

Dr. Yusliza Yusoff merupakan penyelia projek sarjana muda tahun akhir berserta Puan Nor Azliana Ramali, penyelia industri sewaktu di UTMSpace. Detik meraih pingat gangsa dalam ‘New Academia Learning Innovation (NALI) 2024”, masih segar dalam ingatan.

Momen meraih pingat gangsa pada ‘New Academia Learning Innovation (NALI) 2024

Sudah pasti penghargaan yang tidak terhingga, tidak lain dan tidak bukan kepada dua sosok tubuh yang banyak memberi inspirasi kepadanya iaitu Surati Abd.Rahman,62 (bapa) dan Hamisah Mohd. Ariff ,54 (ibu).

Bagai menatang minyak yang penuh, tidak pernah merasa haus dan dahaga kehidupan, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan doa tanpa putus serta sokongan moral dari pelbagai aspek yang mampu membantu beliau mengatasi segala cabaran yang dihadapi sepanjang pengajiannya.

Telahpun ditawarkan untuk menyambung pengajian, Nazihah masih lagi ingin meneruskan langkah ke peringkat Ijazah Sarjana di UTM. Beliau kini merupakan seorang pengujian perisian di salah sebuah bank di ibu kota.

ccfe ed a a edafd
Puan Nor Azliana Ramali, penyelia industri di UTMSpace.

“Jangan biarkan aura negatif menghalang perjalanan anda menuju puncak kejayaan. Jadikan segala cabaran dan kritikan sebagai batu loncatan untuk terus melangkah ke hadapan. Ingatlah, jika kita sudah memulakan sesuatu, bertanggungjawablah untuk menyelesaikannya.” pesan Nazihah.

“Jika terasa letih, berhenti seketika untuk mengumpul kekuatan, tetapi jangan sesekali berhenti. Selagi kita bernafas, peluang untuk berubah sentiasa ada. Yakinlah bahawa pertolongan Allah mungkin tidak datang terlalu awal dan terlalu lewat, tetapi ia akan hadir pada saat yang paling tepat dan penuh hikmah.

Explore More