November 19, 2024

Search
Close this search box.
image

Dr. Ruwinah bawa Malaysia ke peringkat global dalam advokasi autisme

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Dr. Ruwinah Abdul Karim, seorang anak jati Sabah yang dilahirkan pada 19 Mac 1989, telah menunjukkan kecekalan sejak usia muda sebagai anak sulung daripada enam adik-beradik. Tanggungjawab besar ini membentuk peribadi matang dan dedikasi, mendorongnya melanjutkan pelajaran ke luar negara sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Terapi Cara Kerja di Universiti Brunel, London. Pengalaman akademik di luar negara membuka minda beliau dan memperkukuh semangat serta komitmennya dalam bidang penjagaan inklusif.

Dibimbing oleh mentornya, Dr. Adnan Sulaiman, pengasas Penawar Special Learning Centre (PSLC), beliau kembali ke tanah air dengan misi yang lebih jelas. Beliau yang merupakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bagi Majlis Konvokesyen ke-68, kini memegang jawatan sebagai Pengarah Klinikal PSLC. Dr. Ruwinah memimpin 22 cawangan di seluruh Malaysia dan bertanggungjawab menyediakan sokongan khusus kepada lebih 26,000 pesakit. Sebagai pelopor advokasi autisme, kepimpinan beliau memberi impak yang mendalam terhadap kehidupan individu autistik di negara ini dan meninggalkan legasi kemanusiaan yang kekal.

Selama tujuh tahun sebagai Presiden Persatuan Kanak-Kanak Autisme Johor, Dr. Ruwinah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap autisme melalui pelbagai inisiatif, termasuk Johor Autism Summit yang telah diadakan sebanyak empat kali. Beliau juga meluaskan advokasi ke Indonesia melalui Malang Autism Summit, yang dihadiri lebih 3,500 peserta dan menghasilkan resolusi untuk meningkatkan sokongan kerajaan Indonesia terhadap autisme. Di Malaysia, beliau berjaya mempengaruhi dasar awam, termasuk mencadangkan saringan awal autisme di sekolah-sekolah yang kini menjadi perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia.

fdbacf f ead afcbe
Dr. Ruwinah sewaktu berada di Malang Autism Summit 2024

Komitmen Dr. Ruwinah turut terserlah melalui projek inovatif seperti Teddy Therapy dan Robot-Assisted Balancing Training buat kanak-kanak autistik, hasil kerjasama bersama Ir. Ts. Dr. Asnida Abdul Wahab, seorang pakar Kejuruteraan Bioperubatan. Inisiatif ini menerima Anugerah Emas sebagai pengiktirafan terhadap pendekatan terapi yang berinovatif.

Sebagai ahli lembaga di Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) dan KPJ College, Dr. Ruwinah terus menyumbang kepada pembangunan kurikulum pendidikan khas. Pada Mei 2025, beliau akan mewakili Malaysia di Kongres Autisme Eropah ke-7 di Paris, di mana beliau akan berkongsi wawasan dan pencapaiannya di pentas antarabangsa.

“Autisme adalah nadi utama dalam usaha hidup saya, dan saya meneruskannya dengan cinta yang tulus serta keazaman yang tidak pernah padam,” prinsip hidup Dr. Ruwinah dalam menjadi inspirasi kepada ribuan keluarga dan profesional yang terlibat dalam bidang ini.

Di UTM, Dr. Ruwinah berdepan pelbagai cabaran yang mengasah kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal beliau, terutamanya dalam proses viva yang memperkukuh keyakinannya. Beliau terkesan dengan sokongan pensyarah dan penyelia yang memberi bimbingan dalam menyampaikan hasil penyelidikan dengan jelas dan penuh keyakinan. Bagi beliau, setiap pencapaian yang diraih bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga satu amanah untuk terus memberi impak positif kepada masyarakat.

e df a edabf
Kredibiliti Dr. Ruwinah membuktikan kesibukan bukan halangan untuk berjaya

Salah satu kenangan paling menyentuh hati adalah saat membantu kanak-kanak autistik mengucapkan perkataan pertama mereka, seperti “Mama”. Detik penuh makna ini menjadi bukti keberkesanan terapi serta menyentuh hati ibu bapa yang melihat harapan baru kepada anak-anak mereka. Antara cabaran terbesar beliau ialah memastikan kanak-kanak autisme di Malaysia mendapat akses kepada terapi dan pendidikan berkualiti. Dengan peningkatan kesedaran mengenai autisme, beliau percaya bahawa cabaran ini mampu diatasi dengan kerjasama antara keluarga, guru, dan masyarakat. Sokongan ibu bapa yang tidak pernah berputus asa untuk membimbing anak-anak mereka menjadi inspirasi utama yang terus menggerakkan beliau.

Dr. Ruwinah bercita-cita untuk terus memperkukuh advokasi autisme, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara. Harapannya adalah untuk melihat Malaysia menjadi peneraju dalam advokasi dan penyelidikan autisme di peringkat global. Dengan kepercayaan bahawa “kejayaan sebenar ialah apabila kita menyumbang kepada kebaikan orang lain,” beliau terus berazam untuk membangunkan kurikulum pendidikan khas dan mengukuhkan kerjasama penyelidikan bersama UTM, menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan dalam terapi autisme.

“Jangan takut untuk bermimpi besar, namun ingatlah bahawa impian yang paling bermakna adalah impian yang membawa kebaikan kepada orang lain. Perjalanan mungkin sukar, namun setiap langkah kecil yang diambil dengan dedikasi pasti akan membawa perubahan yang besar. Akhirnya, apa yang kita berikan adalah milik kita yang sejati.” Inilah pesan Dr. Ruwinah kepada pelajar dan graduan baharu UTM, mengingatkan bahawa kejayaan adalah satu perjalanan yang penuh makna apabila ia membawa manfaat kepada masyarakat.

image
Dr Ruwinah ditemani keluarga tercinta pada hari graduasinya

Explore More