JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Pada usia 37 tahun, Noramalina Binti Rahman telah membuktikan bahawa dengan mempunyai semangat juang dan kegigihan yang tinggi, beliau mampu untuk mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup.
Graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini, yang berasal dari Bintulu, Sarawak pernah bekerja di Bahagian Kejuruteraan Penyelenggaraan Loji di Shell sebelum ini dan kini beliau telah memulakan kerjaya di syarikat gergasi minyak Petronas sebagai Penyelaras Logistik.
Noramalina memilih untuk memulakan pengajian secara open distance learning (ODL) sambil bekerja dalam sektor minyak dan gas. Keputusan itu didorong oleh keperluan untuk menguasai kemahiran analitik dan pengurusan, seperti kewangan, strategi, dan sumber manusia, bagi menguruskan projek penyelenggaraan peralatan yang berkait tentang onshore dan offshore dengan lebih efisien.
“Kemahiran yang saya pelajari sepanjang pengajian ini telah membantu saya untuk lebih yakin dalam membuat keputusan serta memimpin pasukan saya dalam memastikan sesebuah projek itu dapat dilaksanakan dengan menggunakan kos dan masa yang optimum,” jelas beliau.
Bak kata pepatah, ‘air pun ada pasang surutnya’ , begitulah juga perjalanan pengajian Noramalina yang tidak semudah seperti yang disangka, apabila pada awal semester kedua, beliau terlibat dalam projek “plant shutdown” yang menyebabkan jadual kerjanya semakin padat.
Beliau perlu bangun seawal jam 4 pagi dan menggunakan waktu rehat di tempat kerja untuk menyempurnakan tugasan akademik. Walaubagaimanapun, beliau berjaya mengatasinya dengan mengekalkan semangat juang yang tinggi.
Cabaran yang dihadapi beliau tidak berhenti di situ, apabila dalam semester yang sama, Noramalina mengalami kemalangan domestik yang menyebabkan tulang belakang beliau patah, memaksanya untuk hanya terlantar dan berehat sepenuhnya di atas katil.
“Pada saat itu, sokongan daripada Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), para pensyarah seperti Dr. Rafidah Othman dan Dr. Shateesh Baskaran, serta keluarga dan rakan-rakan MBA saya, terutamanya Chanthuru, Fei Cin, dan adik saya Amalini yang memberikan kekuatan untuk saya terus bertahan,” katanya.
Berkat bantuan dan sokongan mereka, Noramalina berjaya memohon lanjutan penyerahan tugasan akhir.
Cabaran bertambah apabila syarikat tempat beliau bekerja ketika itu menghadapi masalah kewangan yang serius. Situasi itu, mengancam kestabilan ekonomi dan emosinya, namun sokongan yang tidak putus daripada keluarga dan juga rakan-rakan menjadi pemangkin untuk beliau meneruskan perjuangan dalam pengajiannya.
“Keputusan untuk menangguhkan satu subjek memberikan saya ruang untuk lebih fokus dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian walaupun sepatutnya saya boleh bergraduasi pada bulan November 2023 lepas,” katanya.
Bagaikan pelangi timbul selepas hujan, Noramalina menerima berita baik yang tidak dijangka apabila ditawarkan kerja di Shell Malaysia, dan kini beliau meneruskan kecemerlangannya di Petronas.
“Saya percaya bahawa setiap cabaran membawa hikmah. Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang membolehkan saya memperkukuh kemahiran dan membina masa depan yang lebih stabil,” kata beliau.
Beliau turut berpesan kepada mereka yang berfikir untuk melanjutkan pengajian sambil bekerja, “Jangan takut keluar dari zon selesa. Walaupun mencabar, pengalaman ini membentuk kemahiran kritis dan membuka rangkaian profesional yang luas, membawa manfaat bukan hanya pada diri kita tetapi juga kepada organisasi dalam jangka masa yang panjang,” tambah beliau.
Kisah Noramalina Rahman ini adalah bukti bahawa dengan kecekalan dan sokongan moral daripada ahli keluarga sekeliling, setiap cabaran pasti dapat menjadi peluang untuk mengukir kejayaan.