November 18, 2024

Search
Close this search box.
photo

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Di sebalik kejayaan di menara gading, kisah ketabahan dan kegigihan Mohamad Saufee, seorang alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menjadi inspirasi kepada ramai. 

Tidak seperti perjalanan kebanyakan graduan lain, jalan yang ditempuh Saufee penuh dengan cabaran. Bermula sebagai penjual burger jalanan, beliau kini bergelar penyelidik dan penerima Anugerah Penyelidik Muda 2024 dari Yayasan Waqaf Malaysia.

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Saufee menyedari peluangnya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti adalah tipis. Melihat rakan-rakan melangkah ke pusat pengajian tinggi, Saufee memilih untuk menceburi bidang perniagaan sebagai langkah awalnya, memulakan perniagaan burger jalanan di Muar. 

Gerai burger ini menjadi titik mula perjalanan luar biasa Saufee

Namun, jauh di sudut hatinya, impian untuk bergelar graduan tidak pernah pudar. “Walaupun menjalankan perniagaan burger secara jalanan, saya sentiasa menanamkan impian untuk meneruskan pengajian dan memberikan impak yang bermakna dalam kerjaya akan datang,” kata Saufee.

Berkat hasil penjualan burger dan tekadnya mencari peluang ke menara gading, Saufee akhirnya berjaya mendaftar sebagai mahasiswa di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa pada tahun 2014. Sejak itu, beliau diterima bekerja di beberapa syarikat terkemuka di Pulau Pinang dan Johor sebelum memutuskan untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana.

Kejayaan beliau diteruskan apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Falsafah dalam Pengurusan di UTM pada November 2024. Cabaran besar dalam menyeimbangkan antara keluarga, kerjaya, dan pelajaran tidak melemahkan semangatnya. Malah, pengalaman bekerja dalam aspek wakaf dan dana unit amanah menjadi pemudahcara dalam penyelidikan tesis beliau yang berkisar tentang pemasaran dana unit amanah di Malaysia.

Kini, Saufee terus mengorak langkah ke hadapan dengan melanjutkan pengajian PhD di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Beliau turut aktif dalam bidang pemasaran profesional, menerima sijil Certified Professional Marketers (CPM Asia) pada tahun 2021 dari Institut Marketing Malaysia (IMM), serta ICDL Profile Certificate dalam Digital Marketing oleh ICDL Asia pada tahun 2023.

grad
Mohd. Saufee yang turut menerima Anugerak Penyelidik Muda Wakaf 2024

Dalam perjalanan akademik dan kerjayanya, Saufee menekankan betapa pentingnya sikap tidak pernah berputus asa. “Perjalanan ini baru bermula. Cabarannya luar biasa, tetapi saya kekal positif dan percaya hanya dengan terus berusaha, kejayaan dapat dikecapi,” tambahnya lagi.

Bukan itu sahaja, Saufee turut dikenali dalam kalangan ahli akademik sebagai perunding wakaf, terlibat dalam projek pembangunan model takaful wakaf di beberapa universiti dan pernah berkhidmat sebagai perunding bebas wakaf di Indonesia. Beliau juga aktif menerbitkan artikel berkenaan tanggungjawab korporat dan wakaf, serta sering dijemput sebagai pensyarah jemputan di beberapa universiti sekitar Johor Bahru.

Anugerah Penyelidik Muda yang diterimanya adalah hasil komitmennya dalam penyelidikan akademik tentang wakaf. Dengan sokongan rakan-rakan serta keluarga yang tidak pernah putus asa memberikan semangat, Saufee kini berada di landasan yang kukuh untuk terus menyumbang kepada komuniti akademik dan industri.

Hari bersejarah buat Mohd Saufee yang turut ditemani oleh isterinya

Kisah Mohamad Saufee mengingatkan kita bahawa kejayaan tidak mengenal asal-usul, dan ia hanya akan dikecapi dengan usaha gigih serta semangat yang tidak pernah luntur. Semoga kisah beliau terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga UTM dan masyarakat untuk melangkah lebih jauh.

Explore More