JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Sempena Sesi Ketiga istiadat Majlis Konvoksyen UTM ke-68 hari ini, Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Mohd Zulkifli Ghazali dalam ucapannya menegaskan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai peranan signifikan sebagai duta keamanan, pelopor inovasi, dan pemimpin yang berwibawa di peringkat global.
Beliau menyeru para graduan untuk merenung kembali tanggungjawab besar mereka dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat, negara, dan dunia.
“Graduan UTM mempunyai tanggungjawab untuk membantu dunia memahami bahawa Malaysia sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk menyeru kepada keadilan, keamanan dan perpaduan,” ujar beliau.
Menurut Tan Sri Zulkifli, usaha kemanusiaan yang dibawakan oleh rakyat negara ini, seperti menerusi sokong dan bantuan kepada rakyat Palestin membuktikan keupayaan Malaysia untuk menyumbang kepada keadilan dan keamanan sejagat.
Beliau turut menyentuh tentang Isu kelestarian yang semakin mendapat tumpuan negara ini antaranya melalui Dasar Tenaga Negara dalam konteks memperkukuh penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
“Inovasi hijau, penyelidikan teknologi tenaga bersih, serta gaya hidup mesra alam adalah antara cara graduan UTM boleh memacu perubahan positif dalam memastikan pembangunan yang kita laksanakan tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar, ” jelas beliau.
Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Zulkifli turut menyuarakan kepentingan pendidikan yang perlu dijadikan asas utama kepada kemajuan negara dan instrumen terpenting untuk transformasi sosial.
“Kejayaan sistem pendidikan negara telah melahirkan ramai graduan cemerlang, tetapi cabaran utama adalah memastikan semua rakyat, termasuk mereka di kawasan luar bandar, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
“Sebagaimana pada era selepas tahun 1970, ramai pelajar luar bandar diberi peluang melanjutkan pendidikan di sekolah berasrama penuh. Hasilnya, ramai daripada mereka berjaya menjadi graduan universiti terbaik tempatan dan luar negara. Mereka ini kemudiannya menjadi golongan profesional yang memainkan peranan dalam proses transformasi sosial negara,” ujar beliau.
Menyentuh masa depan negara, Tan Sri Mohd Zulkifli trut memberi penekanan terhadap peranan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi dunia pekerjaan.
“Penting untuk kita memastikan AI berfungsi dalam membantu manusia dan bukannya menggantikan manusia mesti dikawal dengan prinsip etika yang kukuh.
“Graduan hari ini adalah pemimpin masa depan yang menentukan bagaimana rupa dunia dan Malaysia dalam 20 tahun akan datang. Gunakan AI untuk manfaat bersama, bukan untuk menggantikan peranan manusia,” pesan beliau.
Tan Sri Zulkifli berulang kali menekankan kepentingan integriti dan kredibiliti bukan hanya berkait dengan konteks kepimpinan malah kehidupan.
“Apabila kita bercakap tentang kepimpinan atau kepemimpinan maka kita tidak boleh lari daripada menyentuh tentang kredibiliti. Kredibiliti pada seseorang pemimpin adalah untuk melihat kualiti yang dimiliki olehnya yang membolehkan kita yakin bahawa dia seorang yang amanah dan boleh dipercayai selain bijak untuk membawa satu-satu wawasan itu ke arah kejayaan.
“If you lose your wealth you lose nothing. If you lose your health you lose something. If you lose your integrity you lose everything,” ujar Tan Sri Zulkifli.