November 17, 2024

Search
Close this search box.
IMGL

Graduan perlu cakna, berintegriti tinggi – YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Penganjuran istiadat Majlis Konvokesyen UTM ke-68 memasuki hari kedua dengan menyaksikan kira-kira 1,050 graduan Ijazah Sarjana menerima ijazah.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Khaleeda Johor dalam titahnya menyeru agar para graduan bukan sahaja menghargai pencapaian yang telah dimiliki pada hari ini, bahkan mengambil tanggungjawab sosial dalam membina masa depan yang cerah dan bermakna untuk masyarakat.

Baginda turut menekankan bahawa kejayaan graduan hari ini adalah hasil usaha gigih graduan di samping sokongan dan pengorbanan insan-insan tersayang.

“Tidak mungkin kejayaan ini terhasil tanpa usaha gigih serta pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang berkorban demi impian saudara-saudari untuk menimba ilmu di menara gading,” titah Baginda.

Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor  turut menyeru graduan untuk cakna terhadap isu sosial yang semakin membimbangkan, khususnya kes buli dan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak yang dilaporkan saban hari.

Baginda bertitah, “Graduan UTM bolehlah menyantuni masysrakat di luar sana dengan menyertai program kesedaran komuniti dan kebajikan, khususnya dalam mendidik masyarakat tentang hak kanak-kanak serta mengenali tanda-tanda awal penderaan.

Selain itu, perhatian terhadap kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme dan cerebral palsy perlu diberi keutamaan di samping keperluan menangangi isu penderaan kanak-kanak yang kian meruncing.

“Melalui program penyelidikan dan pembangunan, sokongan akademik, serta kerjasama dengan badan bukan kerajaan, kita boleh memperluas kempen kesedaran tentang isu penderaan kanak-kanak dan keperluan individu berkeperluan khas dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan masyarakat,” titahnya.

Dalam pada itu, para graduan yang bakal melangkah ke alam kerjaya diingatkan untuk melaksanakan tugas mereka dengan penuh komited, berintegriti, dan mengekalkan keperibadian yang cemerlang.

“Sentiasa persiapkan diri dengan ilmu yang penuh di dada dan jalankan tugas dengan penuh kesungguhan, berprinsip dan berintegriti tinggi demi mendepani realiti yang pantas berubah.

“Amalkan gaya hidup sihat dengan bersukan dan beriadah walaupun masa yang ada amat terhad dalam mengimbangi kehidupan seharian,” tambah Baginda.

“Jadilah orang yang beradab dan kekal menghormati insan yang banyak berjasa dalam perjalanan hidup demi memperoleh keberkatan bagi meneruskan kecemerlangan hidup pada masa hadapan,” titah Che’ Puan Mahkota Khaleeda mengakhiri titahnya pada pagi ini.

Explore More