JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Laili Hirwati Abdul Wahid, 45 tahun, seorang wanita kelahiran Perak dan kini menetap di Melaka berusia 45 tahun, bukanlah graduan biasa. Mengikuti pengajian dalam Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau berjaya mencapai impian besar walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan yang mematahkan semangat ramai orang.
Bertugas sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Melaka, dan seorang ibu kepada lima orang anak, perjalanan akademik beliau dilingkari cabaran yang tidak disangka-sangka.
Tidak lama selepas memulakan pengajian, beliau diuji dengan musibah yang sungguh berat. Rumah kediamannya terbakar, memaksa beliau dan keluarga berteduh sementara di sebuah inap desa kepunyaan masjid Al-Jawahir, Mutiara Rini, Johor.
Pada waktu yang sama, beliau sedang menyesuaikan diri sebagai pelajar mod campuran di UTM, di mana banyak tugasan dan kelas perlu diselesaikan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang membataskan sesi bersemuka. Dalam kekalutan itu, beliau tetap gigih menguruskan tanggungjawab sebagai pelajar, ibu, dan guru walaupun berada dalam keadaan yang serba mencabar.
Pengalaman Laili menjadi lebih bermakna apabila berdepan dengan sokongan dan keprihatinan luar biasa daripada pihak UTM. Sehari selepas insiden kebakaran, beliau tetap menghadiri kelas dalam talian bersama Dr. Noraffandy Yahya.
Tatkala ditanya, “How are you today?”, Laili hanya mampu menjawab, “I’m not ok.” Jawapan itu membuka ruang bagi beliau untuk menceritakan keadaan sebenar yang dialaminya yang segera mendapat perhatian dari Dr. Noraffandy.
Tanpa ragu, Dr. Noraffandy menawarkan bantuan dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Universiti.
Bantuan dari segi moral dan barangan juga tiba dari pihak Universiti melalui Dr. Hasnah Mohamed, Pengarah Program Sains Matematik & Multimedia Kreatif ketika itu yang menyampaikan sumbangan kewangan sebagai tanda sokongan.
Sokongan dan semangat serta dorongan yang diberikan oleh Dr. Nurul Farhana Jumaat selaku penyelia, para pensyarah FSSH khususnya bidang Teknologi Pendidikan juga memberi kekuatan kepada Laili untuk terus bangkit meneruskan pengajian yang baru sahaja bermula.
Di sebalik segala cabaran, Laili tetap gigih menyelesaikan tugasan dan kelasnya walaupun terpaksa memohon lanjutan masa. Rakan-rakan sekuliah yang sentiasa berada di sisi turut membantu dengan berkongsi maklumat serta bahan pengajian, menjadikan perjalanan akademiknya lebih mudah walaupun berhadapan dengan keadaan yang getir.
Berkat bantuan dan dorongan daripada pensyarah dan rakan-rakan, Laili akhirnya berjaya mengharungi semua cabaran itu dengan ketabahan luar biasa.
Pada 15 November 2024, usaha gigih beliau membuahkan hasil yang luar biasa apabila dianugerahkan sebagai ‘Best Postgraduate Student‘. Pencapaian ini tidak hanya menjadi lambang kejayaan akademik tetapi juga ketabahan dan kekuatan diri beliau sebagai pelajar dan ibu.
Anugerah itu menjadi pengiktirafan kepada beliau atas ketekunan dan keberanian menempuh pelbagai rintangan sepanjang pengajiannya di UTM.
Apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan, Laili berkongsi prinsip-prinsip hidup yang menjadi panduan beliau. “Jangan malu bertanya, dan carilah lingkaran kawan yang positif,” katanya. Menurutnya lagi, semangat untuk terus maju diperoleh daripada rakan-rakan yang sentiasa menyokong serta pensyarah yang bersedia membantu, walaupun ramai di antara mereka jauh lebih muda daripadanya.
Prinsip jangan mengalah adalah sesuatu yang dipegang kuat oleh beliau. Meskipun tugas kadangkala terasa mustahil untuk diselesaikan, Laili tetap melangkah ke depan tanpa rasa gentar, memastikan setiap tugasan dilaksanakan hingga selesai.
Di sepanjang pengajiannya, Laili memperoleh banyak kemahiran teknologi, khususnya dalam melaksanakan pembelajaran bersemuka dan atas talian, yang beliau harap dapat diaplikasikan dalam bidang kerjaya sebagai guru.
Beliau melihat bidang teknologi pendidikan sebagai satu aspek penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan murid yang berkemahiran tinggi dalam teknologi moden. Dengan ilmu dan pengalaman yang diperolehi di UTM, beliau bertekad untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya dalam membantu sekolahnya menjadi sekolah digital yang berdaya saing.
Di samping kejayaan peribadi, Laili tidak pernah lupa menghargai sokongan yang beliau terima daripada insan-insan tersayang. Bagi beliau, keluarga adalah tunjang utama kekuatan dan inspirasi dalam menempuh segala cabaran.
Suami, anak-anak, ibu, keluarga dan keluarga mertua sentiasa menjadi dorongan kuat, selain penyelia beliau, Dr. Nurul Farhana, yang memberikan semangat untuk beliau terus berusaha hingga berjaya graduasi tepat pada masanya sebagai penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Setiap kali hampir patah semangat dan putus asa, Dr. Nurul Farhana menjadi tempat Laili berkongsi masalah dan sokongan kuat dari Dr. Nurul Farhana menjadikan perkara yang dirasakan mustahil menjadi kenyataan.
Ketika ditanya tentang nasihat kepada pelajar baru, Pn. Laili menegaskan pentingnya sokongan antara satu sama lain.
“Jangan pernah putus asa, setiap cabaran dalam menuntut ilmu adalah berbeza bagi setiap orang dan semangat jihad dalam menimba ilmu adalah sesuatu yang sangat bermakna,” pesan beliau.
Cerita perjalanan Laili Hirwati adalah inspirasi kepada semua. Meskipun hari ini ibu tercinta tidak dapat bersama-sama di dalam dewan ini, berbekalkan tekad, sokongan orang tersayang, dan bantuan daripada pihak Universiti, beliau telah berjaya mengubah cabaran hidup yang paling getir menjadi satu lembaran kejayaan yang cukup membanggakan.