November 17, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

JOHOR BAHRU, 17 Nov – Pada Majlis Konvokesyen ke-68 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang berlangsung, kehadiran bakal graduan seperti Dato’ Ng Keng Heng membawa inspirasinya tersendiri. Dato’ Ng, Pengerusi Jawatankuasa GE16 MCA (Malaysia Chinese Association) Johor dan Pengerusi MCA Bahagian Kota Tinggi, telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Sains (Keselamatan, Kesihatan, dan Alam Sekitar), atau SHE di UTM, Johor Bahru. Pencapaian ini membuktikan bahawa semangat untuk terus belajar tidak pernah mengenal usia.

Bagi Dato’ Ng, keputusan untuk menyambung pengajian pada usia 55 tahun didorong oleh komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang diwakilinya. Keputusan ini hadir dengan cabaran tersendiri, memandangkan beliau perlu membahagikan masa antara tanggungjawab politik, kerjaya, dan pengajian. Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam dunia politik, beliau percaya bahawa menambah ilmu pengetahuan adalah langkah penting dalam memastikan perkhidmatannya lebih efisien dan relevan.

ddf cf bd d dfcddcdd
Pemberian limau yang dijalankan sempena Tahun Baru Cina

Perjalanan akademik Dato’ Ng tidaklah mudah. Beliau berhadapan dengan cabaran dari segi penyesuaian diri dalam kelas, menguruskan masa, serta menguasai kemahiran baru dalam menggunakan teknologi terkini seperti Tiktok, YouTube dan platform media sosial lain untuk menambah ilmu, pembentangan kajian projek dan sebagainya. Setiap sesi pembelajaran adalah peluang untuk beliau menyelami pelbagai perspektif, memperkaya pengalaman, dan membina kepercayaan diri dalam berinteraksi dengan generasi muda serta rakan-rakan sekelas yang berbilang latar belakang.

“Apabila melangkah ke universiti pada usia ini, setiap langkah kecil menuju pengetahuan baru adalah pencapaian besar,” katanya, mengenang perjalanan pengajiannya dengan penuh rasa syukur.

ecb df f ca afbcbbba
Dato’ Ng bersama rakan-rakan di dalam kelas ketika membentangkan tugasan

Dalam urusan keluarga, sokongan daripada isteri dan anak-anaknya memberikan dorongan yang sangat bermakna buat beliau. Bagi Dato’ Ng, cabaran terbesar adalah memastikan setiap keperluan kerjaya, keluarga, dan pengajian dapat diimbangkan tanpa mengorbankan satu sama lain. Beliau menganggap keluarganya sebagai tiang utama yang membolehkannya meneruskan pengajian dengan jayanya.

Selain penglibatannya dalam politik, Dato’ Ng turut memainkan peranan penting sebagai Pengarah Eksekutif dalam sektor perladangan kelapa sawit berkeluasan 2,700 ekar. Melalui projek penyelidikan yang dijalankan sepanjang pengajian, beliau memperkukuh pengetahuan dalam aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta memahami kepentingan menjaga alam sekitar. Kajian ini diterapkan secara langsung dalam pengurusan ladang, di mana beliau bersama kumpulan kakitangan ladang berjaya mengurangkan kemalangan operasi harian, memantau keselamatan pekerja, dan mengaplikasikan sistem mekanisasi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan sekali gus meningkatkan produktiviti hasil ladang. Pengalaman praktikal ini membuktikan bahawa ilmu yang diperoleh di universiti bukan sahaja relevan di atas kertas tetapi dapat diterapkan terus dalam dunia pekerjaan.

Dato Ng
Dato Ng melawat tapak bagi mengumpul buah kelapa sawit

Sebagai seorang pemimpin dan pelajar, Dato’ Ng memegang prinsip pembelajaran sepanjang hayat atau life-long learning sebagai asas perubahan diri yang berterusan. Walaupun sibuk dengan tanggungjawab dan komitmen yang ada, tekadnya untuk terus menimba ilmu mengatasi segala cabaran. Baginya, menyambung pengajian pada usia emas adalah peluang untuk merapatkan jurang generasi, sambil berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan golongan muda yang baru menempuh perjalanan akademik mereka.

Dato’ Ng turut berpesan kepada para pelajar dan bakal graduan UTM, “Jangan pernah putus asa. Semua insan adalah sama. Yang membezakan adalah usaha dan keikhlasan kita dalam menuntut ilmu dan berbakti kepada masyarakat.” Beliau percaya bahawa kejayaan dalam menuntut ilmu bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Beliau juga menyuarakan harapan agar suatu hari nanti dapat memberi sumbangan kepada UTM bukan sahaja sebagai graduan tetapi sebagai inspirasi kepada para pelajar dan warga kampus. Pengalamannya dalam memimpin masyarakat turut mendorongnya untuk mengambil berat tentang isu-isu setempat seperti banjir yang sering melanda Kota Tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan untuk belia di kawasan tersebut. Dengan ilmu yang diperoleh, beliau berharap dapat membawa perubahan yang lebih besar dan berimpak tinggi, khususnya dalam menangani cabaran ini secara proaktif.

afaa f b be bfccfeb
Dato’ Ng bersama kakitangan ladang menyambut Hari Raya Aidilfitri

Pada usia 57 tahun, Dato’ Ng Keng Heng membuktikan bahawa kejayaan tiada batas usia, dan ilmu adalah pelaburan terbaik yang boleh dimiliki. Kisahnya bukan sahaja memberi inspirasi kepada warga UTM tetapi juga masyarakat umum. Dalam perjalanan hidupnya, Dato’ Ng mengingatkan bahawa setiap pencapaian ilmu dan pengalaman baharu adalah satu langkah menuju kehidupan yang lebih bermakna dan bermanfaat, di samping menunjukkan bahawa usaha dan dedikasi adalah kunci kepada kejayaan tanpa mengira usia atau latar belakang.

image
Walaupun tanpa kehadiran keluarga akibat jangkitan influenza, Dr. Ng tetap cekal untuk hadir menerima segulung ijazah

Explore More