JOHOR BAHRU, 13 Nov – Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERTISAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif untuk memberikan insentif kepada semua Wira Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2024 yang telah memenangi pingat sekali gus mengharumkan nama UTM. Insentif ini telah disampaikan oleh Presiden PERTISAS sendiri iaitu Azri Hohad. Seramai sebelas penerima telah menerima insentif sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam kejohanan SUKUM 2024.
Insentif yang diberikan oleh PERTISAS bertujuan mengiktiraf usaha gigih dan kecemerlangan staf UTM dalam menyumbang kepada kejayaan universiti di pelbagai acara sukan. Melalui penganugerahan insentif kepada pemenang pingat di SUKUM 2024, PERTISAS menyokong usaha memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan staf. Aktiviti sukan diangkat sebagai elemen penting untuk mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental, selain menghargai sumbangan staf yang berjaya mengharumkan nama UTM di pentas sukan.
Semua insentif diberi dalam bentuk wang tunai sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka. Dzulhelmi Mohd Razali yang merangkul dua pingat emas dan satu pingat gangsa telah menerima insentif keseluruhan berjumlah RM450. Siti Marlia Abd Rahim, pemenang satu pingat emas, menerima insentif sebanyak RM200. Bagi pemenang pingat gangsa, Norhaliza Hamzah, Norazizi Osman, Muhammad Arif Harun, Mohamad Redha Md Dali, Norshima Mohd Sham dan Rahizah Abd Rahiman masing-masing menerima insentif sebanyak RM50. Jumlah keseluruhan insentif yang diberikan kepada pemenang pingat di kejohanan SUKUM 2024 ini adalah sebanyak RM1,150. Penyerahan insentif ini diharapkan dapat mendorong lebih ramai staf UTM untuk aktif dalam sukan dan menyokong kejayaan institusi di peringkat kebangsaan.
Insentif ini bukan sahaja menghargai usaha staf, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin untuk membina budaya kecemerlangan sukan di UTM. Melalui penglibatan aktif dalam sukan, staf bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi peribadi tetapi juga menyumbang kepada perpaduan warga universiti. Ini sekali gus memantapkan nilai kolaborasi dan kerjasama yang penting dalam persekitaran kerja.
Dengan memberi penekanan kepada sukan, UTM berharap dapat membentuk staf yang seimbang dari segi kesihatan, semangat berpasukan, dan produktiviti, menjadikan universiti ini terus relevan dalam pelbagai aspek pembangunan.