KUCHING, 16 Okt – Pusat Kejuruteraan Forensik atau lebih dikenali sebagai Forensic Engineering Centre (FEC) telah berjaya menganjurkan International Forensic Civil Engineering Seminar 2024 (iForCES’24) di Imperial Hotel Kuching, Sarawak. Seminar yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Oktober ini telah mengetengahkan tema “Innovating Solutions in Forensic Engineering by Virtue of Emerging Technologies”.
Menampilkan 10 penceramah profesional dari dalam dan luar negara, iForCES’24 mengumpulkan jurutera dan ahli akademik untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka dalam kejuruteraan forensik. Kehadiran penceramah ini membuka peluang kepada para peserta untuk mendalami isu-isu terkini dan teknologi baharu yang semakin berkembang dalam industri. Penceramah jemputan terdiri daripada wakil universiti awam dan agensi kerajaan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dan Agensi Nuklear Malaysia, serta wakil industri termasuk G&P Geotechnics Sdn. Bhd., Terra Drone Technology Malaysia Sdn. Bhd., VRG Dinamik Sdn. Bhd., dan Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE). Selain itu, iForCES’24 turut berbesar hati menjemput wakil antarabangsa dari Nplus S. R. L., Italy, untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kejuruteraan forensik.
Seminar ini disokong oleh Business Events Sarawak (BE Sarawak), dengan NL Scientific Instruments Sdn. Bhd. dan VRG Dinamik Sdn. Bhd. sebagai penaja utama. Di samping itu, Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak turut menjadi rakan kerjasama dalam penganjuran acara ini.
Majlis perasmian iForCES’24 telah disempurnakan oleh Ts. Meehan Anak Jorai, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal), JKR Sarawak. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif BE Sarawak, Amelia Roziman serta Naib Pengerusi 1 IEM Sarawak, Ir. Stephanie Sim Hui Kheng.
Penganjuran iForCES’24 yang dipengerusikan oleh Dr. Khairul Hazman Padil berjaya menarik lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara, menjadikannya wadah utama bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai kejuruteraan forensik awam. Secara keseluruhan, iForCES’24 bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu oleh pakar dalam bidang kejuruteraan forensik dan memperkukuh jaringan profesional, tetapi juga memperkasa peserta dengan ilmu dan inovasi yang relevan untuk masa depan industri berkaitan di Malaysia.