JOHOR BAHRU, 21 Okt – Program Hari Interaktif Hari Pelanggan telah diadakan di Dewan Kuliah Blok N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dan di Kolej Siswa Jaya serta Kampus UTM Kuala Lumpur. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa dan seluruh warga UTM mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Seksyen Perkhidmatan, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNC(P)). Seluruh warga UTM memperoleh maklumat utama bagi seluruh perkhidmatan kampus seperti perkhidmatan Bahagian Keselamatan, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Pengusaha Arked Makanan dan banyak lagi.
Program Hari Interaktif Hari Pelanggan ini telah dirasmikan sendiri oleh Pengarah Seksyen Perkhidmatan BPA JTNCP, Tuan Haji Taha Othman. Melalui slogan ‘Perkhidmatan Berkualiti, Pelanggan Puas Hati’, beliau turut menyarankan agar semua staf Seksyen Perkhidmatan khususnya, dan juga semua staf secara umumnya agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga UTM. Program ini turut diadakan bersama dengan Sesi Libat Urus Siri 3/2024 Unit-unit Seksyen Perkhidmatan yang juga dirasmikan oleh Tuan Haji Taha Othman.
Semua unit di bawah Seksyen Perkhidmatan BPA termasuk Unit Residen, Unit UTM Fleet, Unit Fasiliti Sukan, Unit Ruang dan Unit Perkhidmatan UTM Kuala Lumpur telah menjayakan Hari Interaktif Bersama Pelanggan. Program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pelanggan bagi mengetahui maklumat terkini tentang perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Bukan itu sahaja, penganjuran program ini juga dilaksanakan agar segala maklum balas dari pelanggan boleh diperolehi agar dapat menjadi input terhadap perancangan dan penilaian perkhidmatan yang disediakan. Dengan adanya program sebegini, perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra kepada para pelanggan terus boleh dicapai apabila pelanggan diberi peluang untuk mengemukakan pertanyaan, cadangan dan aduan.
Di samping itu, unit dan jabatan lain seperti dari Bahagian Keselamatan, Unit Dana Wakaf Pendidikan & Zakat, Pusat Islam, Penerbit UTM, Unit Endowmen & UTM Mart, Unit Komersil Bahagian Pemajuan, Seksyen Penyenggaraan, Fasiliti & Infrastruktur BPA turut bersama membuka kaunter perkhidmatan. Hari Interaktif Hari Pelanggan ini juga menyediakan kaunter khas bagi Kempen Penjimatan Elektrik agar dapat menggalakkan penjimatan elektrik terutamanya pelajar yang menginap di kolej kediaman selaras dengan konsep ‘UTM Berhemah’. Kehadiran pelanggan yang terdiri daripada pelajar dan staf yang ramai telah memberi impak kepada tujuan pelaksanaan program secara keseluruhannya selaras dengan tema ‘Perkhidmatan Berkualiti, Pelanggan Puas Hati’.
Sepanjang program berlangsung, beberapa aktiviti telah diadakan seperti soal selidik, kuiz dan juga cabutan bertuah. Para pelanggan juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti seperti permainan karom, dam aji, congkak dan dart yang disediakan di ruangan khas. Hadiah kepada pemenang dan pemberian hadiah cenderamata kepada pengunjung memeriahkan lagi sambutan yang berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh staf dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Oleh Hafiz Nor Azri Halimi