November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMGM

Warga kerja UTM diseru kekal berkhidmat sepenuh Jiwa Raga

JOHOR BAHRU, 22 Okt – Seramai 3,680 warga staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhimpun sempena Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) Oktober yang berlangsung di sini, hari ini.

Bertemakan “Jiwa dan Raga”, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam amanatnya hari ini menekankan kepentingan setiap warga UTM melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuh jiwa dan raga melalui pelaksanaan tatakelola yang baik. Sebagai penjawat awam yang bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi juga berkhidmat kepada sesebuah institusi yang mempunyai peranan besar dalam membangunkan masa depan negara.

DSC
Prof. Datuk Ahmad Fauzi berkongsi aspirasinya dalam Majlis Bersama Naib Canselor Oktober 2024

“Kita ini tidak terhad kepada raga sahaja, tetapi perlu disertakan dengan jiwa. Seharusnya kita berpaksikan pada arah dan kiblat yang sama.”

Tatakelola Baik Asas Kecemerlangan

Prof. Datuk Ahmad Fauzi menekankan tentang tatakelola yang baik dalam mentadbir urus institusi ini yang sebenarnya merupakan kunci kepada jangka panjang UTM. Pelaksanaan tadbir urus yang telus, adil, dan berintegriti perlu menjadi teras kepada setiap warga UTM dalam setiap aspek pengurusan dan pentadbiran.

“Dalam usaha memperkukuh tatakelola universiti, beberapa inisiatif penting telah diperkenalkan, termasuk penubuhan Jawatankuasa Tatakelola Universiti, pemakaian Garis Panduan Tatakelola Badan Berkanun dan Perbadanan (BBP), serta Jawatankuasa Tadbir Urus Anak Syarikat. Penubuhan Jawatankuasa Governan Dasar Universiti dan Jawatankuasa Kualiti Perkhidmatan juga ditekankan bagi meningkatkan prestasi dan tatakelola. Selain itu, struktur fakulti turut diseragamkan melalui proses semakan dan pembangunan nomenklatur yang lebih kompetitif dan relevan dengan keperluan semasa.”

Peranan UTM dalam Belanjawan 2025 dan Aspirasi Negara

Sempena pengumuman Belanjawan 2025 baru-baru ini, Prof. Datuk Ahmad Fauzi menekankan peranan besar UTM sebagai peneraju dalam pemajuan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan universiti penyelidikan negara yang menerima peruntukan dana khusus sebanyak RM50 juta.

“UTM merupakan pusat tumpuan (PIC) dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bagi universiti awam di Malaysia. Fakulti AI UTM akan menjadi penggerak utama dalam pembangunan inovasi dan penyelidikan, sekali gus memastikan Malaysia berada di barisan hadapan dalam bidang ini,” ujar beliau.

IMGM
Sebahagian warga kerja UTM yang hadir pada majlis ini

Peranan besar UTM dalam menyelaras visi dan aspirasi negara terutamanya dalam bidang AI kini meletakkan UTM sebagai pemimpin dalam penerapan teknologi masa hadapan demi pembangunan bakat berharga yang dapat memacu kemajuan negara.

‘Amanah, Maruah, Perjuangan’

Warga kerja UTM turut diseru agar teguh memegang amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, seterusnya mempertahankan maruah UTM sebagai antara universiti penyelidikan negara yang disegani.

“Kita seharusnya melunaskan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin dan sentiasa proaktif mencari pengetahuan menerusi pelbagai sumber. Jangan malu bertanya waima kepada sesiapa pun. Marilah kita teruskan perjuangan suci ini, Kerana Tuhan untuk Manusia,” tegas Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

IMGM
Barisan kakitangan yang menerima kenaikan pangkat melafazkan Ikrar ISES

Majlis hari ini turut menampilkan Program Town Hall Pelan Tindakan Strategik: enVision UTM 2025 Pelan Tindakan 2025 sebagai inisiatif untuk berkongsi dengan warga UTM tentang perancangan strategi yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.

IMGM
Naib Canselor bersama barisan ahli Jawantankuasa Pengurusan Universiti sewaktu mengunjungi reruai pameran program Town Hall Pelan Tindakan Strategik UTM

Majlis ini menzahirkan komitmen UTM dalam mendepani cabaran mengekalkan prestasi terbaik institusi ini supaya kekal berdaya saing, bahkan mampu melahirkan generasi yang berilmu, berwawasan, dan menyumbang kepada kemakmuran negara dan masyarakat.

Explore More