November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Pelajar UTM teroka ilmu sains marin dan teknologi lestari di OceanXplorer

KLANG, 21 Okt – Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima jemputan daripada OceanX Education untuk menyertai lawatan ilmiah ke kapal penyelidikan canggih, OceanXplorer, yang kini berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor. Seramai 22 pelajar UTM dari kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur telah dipilih sebagai peserta, diiringi oleh tiga pegawai pengiring, termasuk Pengurus UGS UTM, Dr. Rasheed Mohamed Kutty; Penolong Pendaftar UGS UTM Kuala Lumpur, Nurul Diana Kayat; serta Penolong Pendaftar Kanan UGS UTM Johor Bahru, Ahmad Najahalhayyi Zulkifli.

Lawatan ini merupakan inisiatif UTM untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dengan OceanX Education, selaras dengan hasrat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Objektif utama lawatan ini adalah untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains marin dan penyelidikan lautan, bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-14 (Kehidupan di Dalam Air), iaitu memulihara dan menggunakan lautan serta sumber marin secara lestari.

Pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan bagi sesi lawatan dua jam setiap kumpulan. Sepanjang lawatan, taklimat diberikan oleh Mario Tadinac, Pegawai Teknikal Media OceanXplorer, yang menerangkan peranan kapal OceanXplorer dalam ekspedisi saintifik di seluruh dunia. Pelajar UTM turut diberi peluang melihat dan memahami teknologi kapal seperti submersibles, dron laut, dan makmal penyelidikan. Teknologi ini menyokong usaha penyelidikan untuk memahami ekosistem lautan dan cabaran global yang dihadapi, termasuk perubahan iklim dan pencemaran.

White Blue Collage Summer Sale Instagram Post
Penerangan diberikan di setiap bahagian penting kapal OceanXplorer

Lawatan ini mendedahkan pelajar kepada teknologi terkini dalam penyelidikan lautan, yang boleh diaplikasikan dalam program akademik UTM seperti kejuruteraan marin, sains alam sekitar, dan teknologi lestari. Penggunaan teknologi canggih seperti dron bawah laut dan makmal bergerak memberikan inspirasi kepada UTM untuk menerapkan inovasi serupa dalam penyelidikan alam sekitar dan teknologi hijau. Ini sejajar dengan SDG ke-9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) yang menekankan pembangunan teknologi lestari dalam penyelidikan dan pendidikan.

Selain itu, pelajar UTM turut didedahkan kepada cabaran global seperti perubahan iklim, pencemaran plastik, dan kemusnahan habitat marin. Pendedahan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai peranan mereka dalam usaha mencapai SDG ke-14 serta SDG ke-13, Tindakan Iklim, melalui sumbangan dalam dalam penyelidikan dan inovasi teknologi bagi pemeliharaan lautan. Dr. Rasheed Mohamed Kutty menyatakan, “Lawatan ini adalah langkah penting bagi pelajar UTM untuk memahami cabaran ekosistem lautan dan bagaimana teknologi dapat mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.”

Kumpulan pelajar dan pegawai pengiring UTM JB
Pelajar dan pegawai pengiring UTM Johor Bahru bergambar bersama selepas sesi lawatan OceanXplorer
Kumpulan pelajar dan pegawai pengiring UTM KL
Pelajar dan pegawai pengiring UTM Kuala Lumpur selepas sesi lawatan

Di samping menginspirasikan minat dalam sains marin, UTM bercadang memperluas kerjasama dengan OceanX serta organisasi antarabangsa lain untuk menyediakan pelajar dengan peluang dalam penyelidikan berimpak tinggi bagi pemeliharaan lautan serta pembelajaran yang inklusif dan mampan sepanjang hayat.

Oleh Nurul Diana Kayat, Penolong Pendaftar dan Dr. Rasheed Mohamed Kutty, Pengurus UGS Kuala Lumpur

Explore More