November 22, 2024

Search
Close this search box.
n

Mendukung Masa Depan: FABU UTM perkukuh nilai diri pelajar baharu

JOHOR BAHRU, 8 Okt – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu sesi perjumpaan penuh makna bersama pelajar baharu dengan tema, “Mendukung Masa Depan: Nilai Diri yang Hilang.” Program ini diadakan serentak di dua lokasi berbeza iaitu pelajar perempuan ditempatkan di Galeri FABU dengan kehadiran seramai 300 pelajar, manakala seramai 160 pelajar lelaki menghadiri sesi di Studio Lukisan, Blok B06, FABU.

Sesi perkongsian untuk pelajar perempuan telah disampaikan oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali, manakala bagi pelajar lelaki, perkongsian dikendalikan oleh Timbalan Dekan FABU, Prof. Ts Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein. Turut diundang sebagai penceramah ialah Pegawai Keselamatan dari Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar UTM, Suzila Mat Yasin dan Mohamad Zahid Azizan.

n
Sesi perkongsian bersama Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita binti Ali
n
Sesi perkongsian bersama Timbalan Dekan FABU, Prof. Ts Dr. Muhammad Zaly Shah

Intipati utama program ini adalah untuk memperkukuh nilai-nilai teras ISES UTM yang terdiri daripada Integriti, Sinergi, Kecemerlangan, dan Kelestarian. Melalui program ini, para pelajar turut didedahkan kepada prinsip-prinsip yang selari dengan beberapa kriteria dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG ketiga (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG keempat (Pendidikan Berkualiti), dan SDG ke-16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).

Para pelajar juga diingatkan tentang pentingnya menjaga sahsiah diri dan menghindari tingkah laku yang boleh memusnahkan masa hadapan, seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, dan pelanggaran disiplin. Selain itu, mereka diberi galakan untuk menjaga maruah keluarga, fokus pada pelajaran, serta berusaha mencapai kecemerlangan sebagai graduan UTM yang berjaya.

n
Sesi bersama pegawai keselamatan dan pelajar FABU perempuan
n
Sesi antara pegawai keselamatan dan pelajar FABU lelaki

Program ini turut menawarkan sesi soal jawab interaktif, memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya soalan dan mendapatkan pencerahan lebih lanjut berkenaan isu sahsiah, disiplin, serta strategi untuk menghadapi cabaran sepanjang tempoh pengajian.

n
Sesi soal jawab bersama Dekan FABU

Sesi yang bermula pada jam 2.15 petang ini berakhir pada jam 3.30 petang, membawa harapan setiap pelajar akan lebih bersedia untuk mencorak masa depan yang gemilang, berpandukan nilai diri yang jitu. Mereka turut diingatkan bahawa masa hadapan adalah tanggungjawab yang mesti dipikul dengan penuh kesedaran, bukan sekadar angan-angan.

Disunting oleh Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali & Maimunah Salleh

Explore More