November 17, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Forum Sokongan Anak Autistik tingkat kemahiran daya tindak & terapi di UTM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Kumpulan Penyelidikan Bioinspira UTM di bawah Penyelidikan Bersekutu Bahan Keterhadapan (FMRA) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah berjaya menganjurkan program Forum Sokongan untuk Anak Autistik: Kemahiran Daya Tindak dan Terapi bertempat di Bangunan V01, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. Program ini turut menawarkan sesi saringan percuma yang dijalankan oleh kakitangan Pusat Pembelajaran Khas Penawar (PSLC), Hospital Penawar Pasir Gudang, Johor. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1 petang ini telah menarik penyertaan ibu bapa dan anak-anak daripada kalangan staf UTM serta komuniti luar UTM.

Sesi forum ini menampilkan tiga orang penceramah jemputan yang berpengalaman luas, iaitu Pensyarah Kanan UTM, Ts. Dr. Saiful Izwan Dato’ Abdul Razak; Guru Pendidikan Khas dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai, Agnes Sii; dan Ketua Terapi PSLC, Hospital Penawar, Dr. Ruwina Abdul Karim. Para penceramah berkongsi pelbagai pandangan serta informasi penting mengenai autisme, terapi, kaedah penjagaan dan kemahiran daya tindak yang sesuai untuk ibu bapa bagi mengendalikan anak autistik dalam menjalani kehidupan seharian.

IMG
Para penceramah berkongsi pelbagai tips dan kaedah berguna buat para ibu bapa

Selain itu, para penceramah turut menerangkan tentang peluang kebolehpasaran dan potensi masa hadapan anak-anak autistik yang mengikuti program khas seperti PPKI di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program PPKI ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran komunikasi dan keterampilan pelajar-pelajar yang berkeperluan khas.

Sesi terapi berkala, sama ada di hospital kerajaan atau pusat pembelajaran swasta, turut ditekankan sebagai kepentingan dalam membentuk kemajuan berterusan anak-anak autistik. Penceramah juga menegaskan kepentingan saringan awal untuk mengenal pasti tanda-tanda autisme sejak usia kanak-kanak. Sesi soal jawab yang interaktif bersama penceramah telah membantu ibu bapa memahami dengan lebih mendalam tentang langkah-langkah penjagaan yang boleh diambil.

Semasa program berlangsung, anak-anak para peserta diberi ruang untuk bermain di bilik permainan khas yang disediakan oleh kakitangan PSLC dan pihak penganjur. Sesi saringan percuma yang dikendalikan oleh juruterapi bertauliah dari PSLC Hospital Penawar juga berjaya memberikan pencerahan kepada ibu bapa mengenai keadaan anak-anak mereka yang berkemungkinan menunjukkan tanda–tanda autisme serta jenis terapi yang disarankan.

IMG
Sesi saringan percuma oleh pihak PSLC, Hospital Penawar membantu ibu bapa memahami keadaan anak mereka
Anak-anak berpeluang bermain di bilik permainan yang disediakan oleh pihak penganjur

Program ini berjaya memberikan pendedahan yang signifikan kepada ibu bapa tentang pelbagai bentuk sokongan dan terapi yang diperlukan oleh anak-anak autistik. Di samping itu, ia telah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting kemahiran daya tindak dalam mendidik anak-anak istimewa ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan pemahaman dan sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak autistik, serta memupuk kesedaran di kalangan masyarakat umum agar anak-anak ini dapat mencapai potensi mereka yang sebenar dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

WhatsApp Image at AM
Ahli jawatankuasa program bergambar bersama selepas acara

Oleh Dr. Norjihada Izzah Ismail dan Dr. Nadia Shaira Shafii

Explore More