November 5, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

Program Jom Menulis dedah kemahiran penulisan kepada warga PFKK

JOHOR BAHRU, 23 Sept – Program “Jom Menulis: Pengenalan Penulisan Karya Asli kepada Warga Persatuan Felow Kolej Kediaman (PFKK)” berjaya diadakan di Dewan Sri Kencana, Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program anjuran Biro Pembangunan dan Budaya Ilmu (BPBI) ini bertujuan meningkatkan kemahiran penulisan warga PFKK serta memperkenalkan teknik penulisan karya asli.

Seramai 34 orang peserta memeriahkan program yang menampilkan dua penceramah jemputan, Prof. Madya Ir. Ts. Yahaya Ramli, Penerbit UTM Press dan Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Kedua-dua penceramah ini berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang penulisan serta memberi inspirasi kepada peserta tentang pentingnya kemahiran ini.

n
Sebahagian peserta yang hadir mendengar input yang disampaikan

Dalam sesi pertama, Prof. Madya Ir. Ts. Yahaya menekankan bahawa penulisan karya asli bukan sekadar mencurahkan idea ke dalam bentuk tulisan, tetapi memerlukan proses pemikiran kritis dan keupayaan untuk menyampaikan mesej dengan jelas dan tepat. Beliau turut menyatakan bahawa warga felow kolej boleh menyumbang dalam penerbitan buku dan bahan ilmiah yang berkualiti, khususnya kerana mereka terlibat secara aktif dalam pelbagai program pembangunan mahasiswa.

Menurut beliau, menulis adalah medium terbaik untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai dan menyumbang kepada reputasi UTM sebagai universiti penyelidikan.

n
Sesi interaksi antara Prof. Madya Yahaya bersama peserta

Sesi kedua diteruskan dengan perkongsian oleh Ts. Dr. Nur Fadilah yang telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku dan telah mendapat sambutan di Indonesia dan Brunei. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan cabaran dalam dunia penulisan seperti mengatasi sekatan kreativiti dan menguruskan masa. Beliau turut berkongsi tips tentang cara mendapatkan inspirasi dan mengekalkan momentum dalam penulisan.

Menurut beliau, menulis juga membantu membina pemikiran yang lebih kritis, memperkayakan pengetahuan, dan mengukuhkan identiti sebagai seorang individu yang berwawasan. Ts. Dr. Nur Fadilah juga menggalakkan warga felow untuk tidak berputus asa walaupun menghadapi pelbagai rintangan dalam menghasilkan karya yang berkualiti.

WhatsApp Image at PM
Ts. Dr. Nur Fadilah memberikan perkongsian

Keberkesanan program ini terbukti apabila soal selidik yang dijalankan menunjukkan peserta memahami dengan jelas topik yang disampaikan dan yakin mereka mampu mengaplikasikan dan menyampaikan ilmu yang dipelajari. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada kedua-dua penceramah oleh Pengarah Program, Dr. Aminah Mohsin, sebagai tanda penghargaan. Program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasakan kemahiran penulisan warga PFKK dan diharapkan akan ada lebih banyak program seumpamanya di masa akan datang.

WhatsApp Image at PM
Penyampaian cenderamata kepada Prof. Madya Ir. Ts. Yahaya
WhatsApp Image at PM
Penyampaian cenderamata kepada Ts. Dr. Nur Fadilah

Secara keseluruhannya, program “Jom Menulis” telah berjaya mencapai matlamatnya dan memberikan impak positif kepada para peserta. Diharapkan agar kemahiran yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam menjalankan tugas-tugas mereka sebagai warga PFKK, sekali gus mempertingkatkan kualiti penulisan dan penyampaian ilmu di peringkat kolej kediaman.

Oleh Dr. Aminah Mohsin dan Ts. Mohd Hazri Ishak

Rakaman Video Program: https://fb.watch/u-EDEwEDEz/

Explore More