November 16, 2024

Search
Close this search box.
image

Dalam era perubahan pesat dan ketidaktentuan global, universiti awam di Malaysia menghadapi cabaran yang semakin kompleks untuk memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing. Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dalam sesi perkongsian sempena Strategic Management Series bertajuk “Membina Universiti Penyelidikan Awam Kalis Masa Depan” di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menekankan betapa pentingnya universiti awam (UA) untuk keluar daripada kelaziman dan berani membuat perubahan radikal bagi menghadapi cabaran masa depan.

Beliau yang merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) dan penasihat kepada Menteri Pendidikan Tinggi juga menyatakan bahawa salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh UA ialah kurangnya kebertanggungjawaban dalam memastikan perancangan strategik dilaksanakan dengan efektif. “Banyak institusi ada perancangan, tetapi gagal untuk melaksanakan dengan penuh komitmen, katanya.

image
Prof. Tan Sri Noor Azlan ketika berkongsi pandangannya tentang kesediaan universiti awam di negara ini untuk mengubah kelaziman demi menangkis cabaran masa depan

Beliau juga menekankan pentingnya universiti mengambil langkah untuk menilai kembali keberkesanan perancangan yang sedia ada sebelum meneruskan perancangan baharu, khususnya bagi memastikan universiti bersedia menghadapi cabaran global yang semakin tidak menentu.

Menurut Prof Tan Sri Noor Azlan, salah satu perubahan penting yang perlu dilakukan oleh universiti adalah bersifat lebih mesra penyelidikan dan bukannya terlalu bergantung kepada kaedah pengajaran konvensional semata-mata. “Universiti yang kalis masa hadapan mestilah menjadi seperti ‘Ferrari’, iaitu sebuah institusi yang bergerak pantas dalam dunia penyelidikan dan inovasi,” ujarnya dengan analogi automotif.

image
Sebahagian warga UTM yang menghadiri sesi perkongsian pakar ekonomi negara, Prof. Tan Sri Noor Azlan

Universiti penyelidikan seperti UTM dan beberapa universiti lain yang tergolong dalam kategori universiti penyelidikan (RU) perlu memperkukuh asas mereka dalam bidang penyelidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. Menurut beliau, universiti ini mempunyai kekuatan dalaman yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk muncul sebagai institusi yang disegani di peringkat antarabangsa.

Salah satu isu lain yang dibangkitkan adalah perubahan sifat pelajar dan masyarakat. Beliau menyatakan bahawa generasi pelajar hari ini tidak lagi sama dengan generasi terdahulu. “Manusia sekarang mempunyai cara berfikir dan berinteraksi yang berbeza, dan universiti perlu memahami perubahan ini jika mahu kekal relevan,” jelasnya. Beliau juga menegaskan bahawa universiti tidak boleh lagi hanya saling bertukar pandangan sesama sendiri tetapi perlu bersedia untuk melibatkan masyarakat dan pelajar dalam proses pembelajaran.

Dalam ucapannya, Prof Tan Sri Noor Azlan juga turut menggesa universiti untuk terus berinovasi dan mencabar kelaziman dalam cara mereka menguruskan fakulti dan sumber. “Adakah kita betul dalam cara kita menyusun fakulti? Adakah kita terlalu terperangkap dalam konvensyen lama yang menghalang kita daripada bergerak maju?” soalnya, menyeru warga universiti yang hadir untuk sentiasa mencabar status quo.

Kesimpulannya, universiti awam di Malaysia mesti bersedia untuk mencabar kelaziman dan melaksanakan perubahan radikal dalam memastikan mereka kalis cabaran masa hadapan. Perancangan strategik, penyelidikan yang kukuh, serta pemahaman mendalam mengenai perubahan sifat pelajar dan masyarakat adalah kunci untuk menjadikan universiti awam negara ini terus cemerlang di peringkat global. “Kita perlu menilai kembali siapa kita dan mengapa kita berada di sini,” kata beliau, memberi penekanan kepada pentingnya universiti memahami misi dan tujuan mereka dalam dunia yang semakin mencabar ini.

image ()
Sebahagian hadirin bersama barisan pengurusan tertinggi Universiti merakam gambar kenangan bersama Prof. Tan Sri Noor Azlan

Explore More