November 21, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

AI dalam Transformasi Akademia: Memperkasa Pendidikan yang Seimbang dan Inklusif

Kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pendidikan. Sepertimana tema sambutan Hari Akademia 2024, “Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat MADANI Berinovasi”, wajar untuk ahli akademik merenung secara kritikal tentang bagaimana AI boleh membantu atau mencabar peranan ahli akademik dalam mendidik generasi akan datang. Lebih penting lagi, ahli akademik perlu memikirkan cara terbaik untuk memanfaatkan teknologi ini secara seimbang demi memastikan pendidikan yang lebih adil, inklusif, dan berkesan.

AI dalam Pendidikan: Peluang atau Ancaman Jurang Pendidikan?

AI sering dianggap sebagai kunci untuk memperibadikan pembelajaran dan meningkatkan keberkesanan pendidikan. Namun, satu persoalan penting yang perlu dibincangkan oleh para akademik ialah, adakah AI benar-benar memberikan manfaat sama rata kepada semua pelajar, terutamanya mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi? Di negara seperti Malaysia, di mana jurang digital antara kawasan bandar dengan luar bandar masih ketara, tidak semua pelajar berpeluang menikmati kelebihan AI. Di kawasan pedalaman, kekurangan akses kepada teknologi mungkin akan membesarkan lagi jurang pendidikan.

Ahli akademik mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan AI bukan sekadar alat yang mempercepat pembelajaran, tetapi juga satu platform yang merapatkan jurang ini. Mereka perlu memainkan peranan utama dalam merangka dan melaksanakan strategi untuk memperluas akses teknologi dan pendidikan digital, terutamanya dalam kalangan pelajar yang kurang bernasib baik. AI harus dilihat sebagai pemangkin kepada masyarakat MADANI yang menekankan kesaksamaan, keterbukaan, dan bersifat inklusif.

Transformasi Pengajaran: Menyepadukan Teknologi Tanpa Mengabaikan Peranan Guru

Satu daripada soalan yang sering timbul ialah sama ada AI akan menggantikan peranan guru dalam bilik darjah. AI sememangnya mampu menganalisis prestasi pelajar dengan cepat dan memberikan maklum balas yang segera. Namun, bolehkah AI menggantikan nilai kemanusiaan yang dibawa oleh seorang guru merangkumi empati, perhatian, dan interaksi yang holistik?

Sebagai ahli akademik, kita perlu memainkan peranan penting dalam menyepadukan AI dengan bijaksana dalam proses pengajaran. AI boleh digunakan untuk meringankan tugas-tugas rutin seperti pengurusan data dan pentaksiran awal, tetapi peranan guru dalam membimbing pelajar secara moral dan emosi tidak boleh diabaikan. Sentuhan manusia dalam pengajaran yang merangkumi empati, komunikasi, dan sokongan peribadi adalah aspek yang tidak mampu digantikan oleh teknologi.

Selain itu, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam bagaimana AI dapat menyokong kaedah pentaksiran yang lebih berkesan. Penggunaan AI dalam pentaksiran boleh membantu menyediakan maklum balas yang lebih pantas dan berasaskan data, tetapi peranan ahli akademik dalam memastikan pentaksiran tersebut relevan dan bermakna kepada perkembangan holistik pelajar masih perlu diperhalusi.

AI dan Inovasi: Menangani Implikasi Etika

Penggunaan AI dalam pendidikan acap kali terpalit dengan persoalan etika. Data yang dikumpul oleh sistem AI boleh membawa kepada kebimbangan tentang privasi dan keselamatan maklumat pelajar. Bagaimana akademik dapat memastikan bahawa data peribadi pelajar dilindungi dan tidak disalahgunakan? Dalam usaha menggunakan teknologi ini, para akademik perlu memberi input secara berterusan dalam pembangunan garis panduan etika bagi memastikan penggunaan AI selaras dengan hak pelajar.

Selain itu, ahli akademik perlu memastikan bahawa pelajar terus mengasah daya pemikiran kritis pada era AI. Dalam dunia yang semakin rancak dengan penawaran variasi teknologi, terdapat risiko pelajar menjadi terlalu bergantung pada jawapan segera yang diberikan oleh AI. Persoalannya, adakah ini akan melahirkan pemikir inovatif, atau hanya pengguna pasif yang menerima maklumat tanpa menganalisis?

Oleh itu, penting bagi para akademik untuk merangka strategi pembelajaran yang memupuk pemikiran kritis dan kreatif. Teknologi boleh dimanfaatkan, tetapi proses pembelajaran mesti kekal menekankan keupayaan pelajar untuk berfikir secara mendalam dan membuat keputusan yang bijak, walaupun dalam ekosistem pembelajaran yang serba digital.

Mengimbangi Masa Depan Pendidikan: AI dan Nilai Kemanusiaan

Peranan ahli akademik dalam dunia pendidikan bukan sekadar mengaplikasikan teknologi. Kita juga perlu menjaga nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi asas pendidikan, sambil mengintegrasikan AI secara bijak dan bertanggungjawab. AI seharusnya berfungsi sebagai alat yang melengkapkan peranan guru, bukan menggantikan keseluruhan proses pengajaran. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa walaupun AI membawa perubahan besar, fokus utama tetap pada pembangunan pelajar yang seimbang, baik dari segi intelektual, emosi, mahupun sosial.

Dalam era transformasi pendidikan dengan AI, ahli akademik perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan teknologi digunakan dengan bijaksana dan adil. Kita bertanggungjawab membentuk generasi yang bukan sahaja celik teknologi, bahkan mampu berfikiran kritis dan bertindak secara etika. Dengan pendekatan yang seimbang, AI boleh menjadi alat yang memperkukuh pendidikan, dan bukan melemahkannya. Masa depan pendidikan yang inklusif dan adil bergantung kepada kebijaksanaan dan kepimpinan kita sebagai ahli akademik dalam memandu perubahan ini pada landasan yang benar.

Explore More