JOHOR BAHRU, 25 Sept – Seramai 120 orang murid sekolah rendah sekitar Bandaraya Johor Bahru telah terlibat dalam aktiviti Train of Trainers anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Yayasan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (JCorp), serta Sekolah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS).
Program yang diadakan di Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) itu telah dirasmikan oleh Guru Besar SIGS, Hjh. Rosmawati Mohamed. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik, tetapi juga mengajak komuniti menghayati kepentingan pemuliharaan sungai sebagai sumber kehidupan.
“Hari Sungai Sedunia bukan sekadar sambutan, malah berfungsi sebagai peringatan tentang betapa pentingnya sungai dalam ekosistem kita. Sungai bukan sahaja menjadi sumber air bersih, malah menjadi habitat kepada pelbagai spesies kehidupan, sumber pendapatan kepada ramai pihak, dan menyumbang kepada kesehjahteraan alam sekitar,” katanya.
Rosmawati turut menegaskan bahawa pendidikan pemuliharaan sungai dan alam sekitar perlu dipupuk sejak awal, dan program seperti ini merupakan platform terbaik bagi melibatkan generasi muda dalam usaha pemuliharaan tersebut. “Saya yakin melalui aktiviti hari ini, pelajar-pelajar kita akan mendapat pendedahan yang mendalam mengenai kesan pencemaran sungai dan kepentingan tindakan segera untuk menyelamatkan sungai-sungai kita daripada terus tercemar,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din; Timbalan Pengarah UTMCS, Dr. Zanariah Jasmani; dan Penolong Pendaftar Kanan UTMCS, Kiflee Jimpi. Mereka turut memberikan taklimat dan bimbingan kepada murid-murid mengenai kaedah mengukur kualiti air sungai, jenis tumbuhan, dan serangga yang dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
Para peserta program dibahagikan kepada empat kumpulan, di mana mereka terlibat dalam aktiviti pembelajaran yang merangkumi modul seperti Eco-Print, di mana pelajar menghasilkan corak batik dengan mengetuk daun di atas beg kain putih. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar mengenai tumbuhan, tetapi juga untuk memupuk kreativiti dalam pemuliharaan alam. Pelajar turut diberi penerangan tentang proses menangkap dan mengkaji serangga sebagai sebahagian daripada program ini.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Temenggong Abdul Rahman (STAR 1 dan 2), Sekolah Kebangsaan (SK) Ngee Heng, SK Perempuan Jalan Yahya Awal, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Yahya Awal, SK Tasek Utara, serta SIGS sebagai hos program. Program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ketiga, Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik dan juga SDG ke-15, Kehidupan di Daratan.
Melalui program ini, diharapkan generasi muda akan terus dididik dengan nilai-nilai pemuliharaan alam sekitar dan menyedari pentingnya menjaga kelestarian sungai-sungai demi masa depan yang lebih baik.