JOHOR BAHRU, 29 Sept – Majlis perasmian Taman Botani dan penutupan Program Semarak Merdeka Kolej Datin Seri Endon (KDSE) 2024, telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat. Program Semarak Merdeka KDSE merupakan inisiatif berimpak tinggi yang berjaya menarik pelbagai kumpulan sasaran dengan anggaran kehadiran sekitar 1,000 orang, serta mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak di dalam dan luar UTM.
Antara rakan kolaborasi yang terlibat dalam program ini termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM), Persatuan Alumni UTM (PAUTM) Cawangan Terengganu, serta Pusat Islam UTM. Program ini juga disokong dengan dana dan tajaan daripada beberapa pihak, termasuk Jabatan Pendaftar UTM, UTM Alumni, Pusat Islam UTM, dan penaja individu, menunjukkan sinergi hebat dalam merealisasikan matlamat program.
Program-program yang telah dijalankan sepanjang Semarak Merdeka KDSE termasuk Ambisi Semarak Remaja 2024, Program Bacaan Yasin dan Tazkirah Ambang Merdeka, Kuiz Kemerdekaan, Program Lestari Hijau Merdeka KDSE, Majlis Perasmian Taman Botani, dan KDSEtv. Kesemua program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan menggalakkan pemikiran positif serta penglibatan aktif dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Majlis perasmian Taman Botani oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat menjadi penutup yang bermakna bagi keseluruhan Program Semarak Merdeka KDSE. Ia bukan sahaja mencerminkan kejayaan program-program terdahulu, malah menonjolkan kreativiti peserta dalam menyemarakkan semangat patriotik serta mengukuhkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui usaha Taman Botani yang diuruskan oleh Kelab Ecosight KDSE.