November 5, 2024

Search
Close this search box.
AA

JOHOR BAHRU, 23 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Perpustakaan UTM terus memainkan peranan penting dalam memperluas akses ilmu kepada golongan kurang upaya penglihatan melalui Projek Transliterasi Braille, “Baca Celik Hati: Projek Buku Braille dan Audio,” yang dilaksanakan menerusi Program Pentas Budaya Sasterawan Negara: Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Program ini meraikan tokoh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia kesusasteraan dan budaya. Lima hasil karya beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dipilih untuk disumbangkan hak ciptanya agar dapat ditransliterasikan ke dalam format buku braille dan audio. Pelancaran projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, dan diberi nama “Baca Celik Hati: Projek Buku Braille dan Audio.”

AA
SN Datuk Dr. Siti Zainon membincangkan tentang busana Melayu ketika forum Pentas Budaya berlangsung

Program ini bukan sahaja menonjolkan komitmen UTM dalam memajukan ekosistem keilmuan bagi golongan kurang upaya penglihatan, tetapi juga menekankan elemen budaya menerusi tema “Keindahan Adab Sopan dan Gelora Teluk Belanga,” yang mengetengahkan busana tradisional Melayu sebagai lambang kesopanan dan keunikan budaya masyarakat Melayu. Kerjasama antara UTM dan DBP Wilayah Selatan ini menyerlahkan peranan UTM dalam menggabungkan bidang ilmu dan budaya selain menjadi wadah pertemuan silang bidang yang meraikan pelbagai disiplin ilmu.

Lebih menarik, majlis turut menyaksikan penyerahan dana wakaf mesin cetak braille dan perisian Duxbury oleh Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob, kepada Ketua Pustakawan, Puan Nor Asikin Mohamad. Selain itu, naskhah buku braille beraudio bertajuk “Baca,” terbitan Persatuan Pustakawan Malaysia, turut diserahkan kepada Guru Besar SKPK Princess Elizabeth, Pn. Saedah binti Yasinan@Jasman oleh Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, Dr. Ghazali bin Mohamed Fadzil.

AA
Penyerahan buku braille ‘Baca’ kepada Guru Besar SKPK Princess Elizabeth (berbaju merah jambu)

Turut diserahkan kepada Guru Besar SKPK Princess Elizabeth, buku braille bertajuk “Kolam Teduh Biru,” yang merupakan himpunan sajak Datuk Dr. Siti Zainon oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Haji Mohd. Salahuddin Mohamed. Buku ini adalah sebahagian daripada fasa pertama yang berjaya ditransliterasikan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dan boleh diakses secara audio melalui kod QR atau laman web “Baca Celik Hati.”

Sejak bermula pada tahun 1998, Projek Transliterasi Buku Braille, “Baca Celik Hati,” telah menghasilkan lebih daripada 500 naskhah buku braille, hasil kerjasama antara Perpustakaan UTM dan SKPK Princess Elizabeth. Menurut Puan Nor Asikin, inisiatif ini membuktikan kesungguhan UTM dalam memartabatkan budaya membaca di kalangan komuniti yang memerlukan akses khas, seperti golongan kurang penglihatan, di samping memanfaatkan kepakaran sedia ada untuk menyokong golongan berkeperluan khas ini.

AA
Ketua Pustakawan, Pn. Nor Asikin ketika ditemu bual

Datuk Dr. Siti Zainon turut melakar lukisan secara spontan di hadapan audiens sambil diringi persembahan deklamasi sajak “Kasih Ibu” hasil nukilan beliau oleh pelajar istimewa, Gilbert Lau Zi Xiang selain persembahan teater muzikal “Teluk Belanga Warisan Anak Jauhar” oleh Kumpulan Angga Bestari dari SMK Senai.

AA
Persembahan teater dari pelajar SMK Senai
AA
SN Datuk Dr. Siti Zainon ketika bersama para pelajar yang hadir pada program hari ini

Explore More