September 19, 2024

Search
Close this search box.
Picture

GnG perkenal teknologi GNSS melalui Pertandingan Geocatching di Program MADANI Rakyat

JOHOR BAHRU, 15 Ogos – Bersempena dengan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Ogos 2024, Kumpulan Penyelidikan Geomatik Inovasi (GnG) telah mengambil inisiatif memperkenalkan teknologi peralatan ukur Global Navigation Satellite System (GNSS) kepada pengunjung yang hadir.

Program ini diadakan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan fokus utama pada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam memperkasa rakyat, usahawan, dan industri sejak pelancarannya. Kumpulan Penyelidikan GnG turut menganjurkan Pertandingan Geocatching yang menggunakan teknologi ukur GNSS bagi mencari maklumat tersembunyi di permukaan tanah berdasarkan koordinat, bearing dan jarak.

Picture
Persediaan peralatan GNSS bagi pertandingan Geocatching

Pertandingan Geocatching ini telah dijayakan oleh pelajar pascasiswazah dari Kumpulan Penyelidikan GnG, yang terdiri daripada Mohd Syazwan, Mohd Ikhmal Mohamad Dzuhki, Mohd Azizi Alim Shah, Lee Hong Sheng, Nazatul Armielia Nazar, Nur Alyya Nordin, Tan Mei Sieng, Muhammad Fahim Supian, Fiq Schsyarenndy Asni, Nilashini a/p ML Supparamaniyan.

Picture
Mohd Ikhmal (kiri) menunjukkan cara menjalankan cerapan ukur aras
Picture
Nazatul Armielia (kiri) bersama kumpulan pelajar sekolah yang menyertai Pertandingan Geocatching

Sebanyak 15 sekolah menengah dari sekitar Johor Bahru menyertai pertandingan ini. Dua jenis pertandingan diperkenalkan iaitu pencarian harta karun menggunakan peralatan GNSS dan pencarian harta karun menggunakan peralatan Total Station. Pelajar juga diberi pendedahan mengenai penggunaan alat aras untuk menghitung ketinggian aras tanah.

Picture
Mohd Azizi (kanan) memberi penerangan tentang kaedah pengendalian alat ukur Total Station
Picture
Penggunaan alat ukur Total Station yang digunakan bersama prisma ukur

Kesimpulannya, program ini merupakan platform penting untuk memperkenalkan bidang Kejuruteraan Geomatik kepada pelajar sekolah, serta memberi peluang kepada mereka untuk memahami konsep menggunaan alat ukur dengan cara yang interaktif dan menarik. Melalui pertandingan ini, minat terhadap bidang geomatik dapat ditingkatkan, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk mempertimbangkan bidang ini sebagai pilihan pengajian di universiti kelak.

Explore More