September 19, 2024

Search
Close this search box.
n

Reka bentuk ikonik Pos Pengawal UTM: Inisiatif memperkasa ruang kerja kondusif

JOHOR BAHRU, 1 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyempurnakan penyerahan projek Pos Pengawal baharu yang dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset, Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, pihak pelanggan, kontraktor (Equal Weighing System Sdn. Bhd.), dan kumpulan projek yang terlibat dalam perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan di tapak.

DSC
Prof. Datuk Ahmad Fauzi menandatangani plak perasmian penyerahan projek

Pos pengawal baharu ini bukan sahaja merupakan mercu tanda ikonik baharu UTM, tetapi juga direka dengan perhatian khusus terhadap keperluan dan kesejahteraan barisan hadapan universiti. Dengan reka bentuk moden dan kemudahan yang ditingkatkan, pos pengawal ini diharapkan dapat memberikan ruang kerja yang lebih kondusif dan selesa kepada para pengawal keselamatan yang bertugas.

n
Kontraktor menerima sijil penghargaan di atas penyiapan projek

Reka bentuk pos pengawal ini melambangkan komitmen UTM terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Ia mengintegrasikan elemen-elemen reka bentuk lestari, termasuk penggunaan bahan-bahan mesra alam dan teknologi tenaga boleh diperbaharui. Salah satu ciri utama ialah sistem pemulihan air hujan (rainwater harvesting system) yang direka untuk mengumpul dan menggunakan air hujan bagi keperluan bukan minum, seperti pembersihan dan penyiraman landskap. Langkah ini menyokong penggunaan air bersih, selaras dengan usaha universiti untuk mengurangkan jejak karbon dan menyokong inisiatif kelestarian global.

double
Pos Pengawal yang telah siap dengan reka bentuk lestari

Penggunaan sistem pemulihan air hujan ini juga seiring dengan SDG 6, iaitu memastikan ketersediaan dan pengurusan air yang berkesan serta sanitasi untuk semua. Selain itu, ia turut menyokong SDG 13, yang memfokuskan pada tindakan terhadap perubahan iklim dengan mengurangkan kesan karbon melalui pengurangan penggunaan air yang diproses.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Datuk Ahmad Fauzi menyatakan, “Penyerahan pos pengawal ini adalah langkah penting dalam mempertingkatkan keselamatan dan kecekapan operasi di kampus kita. Kami berbangga dapat menyediakan fasiliti yang bukan sahaja memenuhi standard tinggi tetapi juga menyokong usaha kami dalam mencapai SDG.”

WhatsApp Image at AM
Pos Pengawal kini berwajah baru

Prof. Edy Tonnizam juga menyatakan sokongan penuh terhadap projek ini, dengan menekankan kepentingan integrasi antara keperluan operasi dan kelestarian alam sekitar dalam setiap pembangunan kampus. Pos pengawal baharu ini diharapkan akan menjadi simbol komitmen UTM dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan menyokong agenda SDG di seluruh universiti. Majlis penyerahan ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan UTM untuk menjadi peneraju dalam pendidikan tinggi yang peka terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Oleh: Mohd Faizal Wakiman dan Nazeri Omar

Jurufoto: Halid Jamaluddin dan Haslizam Md Sali

Video: https://fb.watch/ukjBPfx-EG/

Explore More