November 22, 2024

Search
Close this search box.
photo

Tiga wakil UTM sertai 115 mahasiswa UA laksana misi HADR di Selatan Thailand

PATTANI, 10 Ogos – Tiga orang wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai 115 orang mahasiswa dari 20 universiti awam seluruh Malaysia dalam Program Bantuan Kemanusiaan dan Pengurangan Bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief) atau HADR, yang berlangsung di Selatan Thailand. Program ini diadakan di Mukim Charoen dan Mukim Nong Rhet, Pattani dari 7 hingga 11 Ogos 2024.

DSC
Delegasi MASKUM disambut mesra oleh pelajar Institusi pendidikan pondok Attarbiyyatul Islamiyyah

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM), dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS), serta diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), merangkap Pengerusi MASKUM, Prof. Dr. Norkhalid Salimin.

Wakil UTM, Haris Farid Izzuddin, berkata aktiviti utama program ini adalah pemasangan lampu tenaga solar (solar cell) di dewan serbaguna, jalan awam, Institusi Pendidikan Pondok Attarbiyyatul Islamiyyah, dan masjid. “Selain itu, kerja-kerja menggali telaga tiub, pengajaran bahasa Inggeris kepada pelajar tahfiz, perkhidmatan gunting rambut, bengkel pembuatan lilin daripada minyak masak terpakai, mengecat surau, pembelajaran pemprosesan produk daripada pokok lontar, serta pemeriksaan kesihatan kepada pelajar tahfiz dan penduduk kampung turut dijalankan,” katanya. Haris menambah bahawa tiada halangan komunikasi dihadapi semasa program berlangsung kerana penduduk Pattani menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan.

DSC
Pelajar mendengar demonstrasi pembuatan lilin daripada minyak masak terpakai
DSC
Sukarelawan MASKUM melaksanakan kerja-kerja membaik pulih dan mengecat masjid di Pattani, Thailand
DSC
Perkhidmatan gunting rambut percuma dijalankan oleh sukarelawan kepada anak-anak penduduk setempat
DSC
Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma diberikan kepada penduduk kampung oleh delegasi MASKUM

Beliau bersama dua wakil UTM lain, iaitu Nur Farhana Halim, mahasiswa Fakulti Sains, dan Mohd Iskandar Ishak, staf Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Ditanya mengenai pengalaman beliau, Haris menyatakan rasa syukur kerana dapat mengasah kemahiran sebagai mahasiswa jurusan kejuruteraan mekanikal. “Saya berpeluang memasang peralatan solar, membina telaga air bawah tanah, serta memasang motor pam yang berfungsi menyedut air dari bawah tanah bagi kegunaan mengambil wuduk di masjid,” katanya lagi.

DSC
Sukarelawan MASKUM memasang lampu tenaga solar di dewan serbaguna dan kawasan awam
DSC
Kerja-kerja membaik pulih paip masjid untuk kemudahan wuduk

Menurut Haris, program seperti ini turut membantu mengasah kemahiran kendiri (soft skills), berpeluang melihat dunia luar, dan berbakti kepada masyarakat. “Kemahiran kendiri amat penting dalam graduan masa kini. Program ini juga memperluaskan jaringan perhubungan antara mahasiswa universiti awam Malaysia,” tambahnya.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Pateemoh Sadeeyamu, Gabenor Pattani di Dewan Serbaguna Kampung Wachah, Yaring, Pattani. Gabenor Pattani turut mengucapkan terima kasih kepada KPT dan universiti awam Malaysia kerana memilih Pattani sebagai lokasi untuk aktiviti bermanfaat ini. “Saya berharap program seperti ini diteruskan di masa hadapan kerana kita adalah negara jiran yang perlu saling membantu,” katanya.

DSC
Bergambar kenangan selepas selesai program Bantuan Kemanusiaan di Pattani

Explore More