November 25, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

INDONESIA, 30 Ogos – Program High Impact Working Exposure (Hi-We) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) International telah berjaya diadakan dari 26 hingga 30 Ogos 2024, bertempat di Universitas Atma Jaya dan Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia. Program ini merupakan satu usaha kolaboratif yang bertujuan memperkukuh hubungan akademik serta pertukaran pengetahuan antara UTM dan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Seramai tujuh orang peserta dari UTM International dan Jabatan Bendahari telah menyertai program ini. Selaras dengan objektifnya untuk memberikan pengalaman kerja di peringkat antarabangsa kepada staf sokongan, program ini melibatkan staf pelaksana pelbagai gred, bermula dari gred 11 hingga gred 32. Aktiviti utama yang dijalankan termasuk sesi perkongsian pengalaman, mini bengkel, serta lawatan penanda aras ke pelbagai fakulti dan jabatan di Universitas Atma Jaya dan Universitas Gadjah Mada.

WhatsApp Image at PM
Bersama Dr. G. Sri Nurhartanto, S.H., LL.M. , Rektor Universitas Atma Jaya Yogyakarta

Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam bidang pengurusan pelajar antarabangsa, kewangan, serta pendekatan terbaik dalam menangani cabaran semasa dalam dunia pengurusan pelajar antarabangsa di pendidikan tinggi. Di samping itu, peserta turut berpeluang mengenali budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti kebudayaan yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

WhatsApp Image at PM
Lawatan penanda aras dan peluang kolaborasi bersama Universitas Gadjah Mada

Selain itu, program ini turut melibatkan pertemuan dengan alumni UTM yang berada di Yogyakarta, termasuk Prof. Ir. Tole Sutikno, Prof. Dr. Ir. Drs. Herianto, Assoc. Prof. Lina Handayani, dan Asa Ismia Bunga Aisyahrani. Pertemuan ini menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan silaturahim antara UTM dengan para alumni, sekali gus mengukuhkan jaringan profesional dan sokongan komuniti alumni di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image at PM
Makan malam bersama Alumni UTM di Yogyakarta

Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif utamanya, tetapi juga telah memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara UTM International dengan rakan institusi di Indonesia. Ini meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama lebih lanjut pada masa hadapan, terutama bagi program mobiliti dan pertukaran pelajar.

Program Hi-We di Yogyakarta ini adalah sebahagian daripada komitmen UTM untuk memperkasa hubungan serantau dan global dalam bidang pendidikan tinggi, sejajar dengan visi universiti untuk menjadi peneraju utama dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.

Explore More