September 19, 2024

Search
Close this search box.
kunci osc

Perasmian UTM Campus Connect Hub dan Stor Jubah: Langkah maju tingkatkan perkhidmatan kampus

JOHOR BAHRU, 1 Sept. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meraikan kejayaan penyerahan dua projek utama, iaitu UTM Campus Connect Hub (CCH) dan Stor Jubah baharu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, pihak pelanggan, kontraktor (Cahaya Limbungan Sdn. Bhd.), dan kumpulan projek yang terlibat dalam perancangan, reka bentuk, serta pelaksanaan projek ini.

osc
Majlis penyerahan projek di UTM CCH
Prof. Datuk Ahmad Fauzi memotong reben di pintu masuk UTM CCH

Penyerahan projek UTM CCH, yang dirasmikan oleh Prof. Datuk Ahmad Fauzi, merupakan inisiatif strategik yang menunjukkan komitmen pengurusan tertinggi UTM dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan. Projek ini bertujuan untuk menggabungkan keseluruhan perkhidmatan utama universiti di bawah satu bumbung, sekali gus menyediakan akses yang lebih mudah dan berkesan kepada pelajar, kakitangan, serta komuniti universiti. Dengan penubuhan UTM CCH, kecekapan operasi dan pengalaman pengguna dalam perkhidmatan universiti dijangka dapat ditingkatkan .

Selain itu, Stor Jubah baharu yang terletak di Blok F54 direka untuk menyediakan ruang yang lebih kondusif kepada graduan. Pembinaan stor ini bertujuan memperbaiki pengalaman graduasi dengan menyediakan kemudahan penyimpanan yang lebih baik untuk jubah dan aksesori graduasi, serta memastikan pengalaman kampus yang lebih menyenangkan bagi pelajar dan alumni.

kunci osc
Penyerahan kunci sebagai simbolik penyerahan projek

Prof. Datuk Ahmad Fauzi menyatakan dalam ucapannya, “UTM Campus Connect Hub dan Stor Jubah baharu adalah langkah besar dalam usaha kami untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan dan pengalaman kampus. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami terhadap penyampaian perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang berkepentingan, selain mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penyediaan kemudahan yang lebih berfungsi dan berkualiti.”

Projek ini juga menyokong beberapa kriteria SDG yang diketengahkan. Antaranya, SDG 4 iaitu ‘Pendidikan Berkualiti’, melalui peningkatan sistem penyampaian. UTM CCH mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan utama universiti, menyokong pendidikan berkualiti dengan menyediakan sistem penyampaian yang lebih efisien. Selain itu, SDG 9, iaitu ‘Industri, Inovasi, dan Infrastruktur’ turut ditonjolkan dengan pembinaan infrastruktur yang moden. UTM CCH dan Stor Jubah baharu merupakan contoh inovasi dalam memperbaiki infrastruktur universiti, seterusnya meningkatkan kecekapan dan kualiti kemudahan.

Tidak ketinggalan, SDG 11 yang melibatkan ‘Bandar dan Penempatan yang Selamat dan Mampan’, juga diterjemahkan melalui pembinaan stor jubah baharu yang memberikan ruang yang lebih baik dan selesa kepada graduan, sekali gus memperbaiki pengalaman kampus serta menyokong kesejahteraan komuniti universiti. Akhir sekali, SDG 17, iaitu ‘Perkongsian untuk Matlamat’, turut diterapkan melalui kerjasama dalam pelaksanaan projek ini. Ia menggambarkan komitmen universiti dalam bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mencapai matlamat bersama, sekali gus memperkukuh imej UTM sebagai penyedia perkhidmatan yang cemerlang.

sebelum selepas
Suasana sebelum dan selepas di UTM CCH
sblm slps stor jubah
Suasana sebelum dan selepas di Stor Jubah (Ruang Pucuk Rebung)
pucuk rebung
Pintu masuk ke Stor Jubah (Ruang Pucuk Rebung)

Penyerahan UTM CCH dan Stor Jubah baharu ini menandakan pencapaian penting dalam usaha UTM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman kampus. Inisiatif ini juga memperlihatkan dedikasi universiti dalam menyokong matlamat pembangunan mampan dan mempertingkatkan imej serta perkhidmatan kepada semua pemegang kepentingan.

Oleh: Ts. Shalan Talib

Jurufoto:  Haslizam dan Hafiz

Video: https://fb.watch/ukfLU8z7vm/

Explore More