September 19, 2024

Search
Close this search box.

Meneroka teknologi digital melalui Projek Eco-Plast Hydroponic

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Dalam usaha memperkasa generasi muda dengan kemahiran teknologi terkini serta keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar, program Digital STEM (DIGISTEM) dan AI bertemakan “Eco-Plast Hydroponic Model” telah berjaya dilaksanakan di Perpustakaan Asrama Darul Falah (ASDAF). Program ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan menarik penyertaan seramai 58 pelajar anak-anak orang asli dari ASDAF, dengan bimbingan daripada 15 fasilitator yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur serta pensyarah dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI).

WhatsApp Image at
Peserta dengan bantuan fasilitator UTM mencuba aplikasi AI yang diterangkan oleh penceramah
WhatsApp Image at
Pelajar menggunakan aplikasi ChatGPT dan Copilot untuk mereka bentuk model STEM

Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran literasi digital peserta melalui penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang membantu mereka mereka bentuk projek STEM yang berkaitan sistem hidroponik menggunakan botol plastik terpakai. Program ini dimulai dengan penekanan kepada kaedah pengaplikasian AI, di mana peserta diperkenalkan kepada platform moden seperti ChatGPT dan Microsoft Copilot untuk membantu mereka mereka bentuk model projek hidroponik yang diberi.

Selain itu, pelajar juga didedahkan kepada teknik pencarian maklumat yang berkesan menggunakan Google, mengembangkan kemahiran penyelidikan mereka. Aktiviti ini turut menekankan aspek kerjasama digital, penulisan, dan pengurusan e-mel secara berkesan dalam persekitaran profesional melalui penggunaan platform Gmail, yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan para fasilitator UTM selama tempoh pemantauan yang berlangsung selama sebulan setengah.

Program ini memberikan impak yang besar kepada peserta, bukan sahaja dalam meningkatkan kefahaman terhadap teknologi digital, tetapi juga dalam membina keyakinan diri untuk meneroka bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara lebih mendalam.

WhatsApp Image at
Pelajar sedang bekerjasama dalam kumpulan untuk membina model hidroponik
Pelajar membentangkan lukisan tangan reka bentuk model hidroponik dan gambaran visual yang dihasilkan oleh aplikasi Copilot

Para pelajar bukan sahaja belajar tentang teknologi, tetapi juga tentang kepentingan kelestarian alam melalui inovasi kitar semula. Melalui projek Eco-Plast Hydroponic Model ini, pelajar diberi pendedahan tentang kaedah hidroponik menggunakan bahan kitar semula, seperti botol plastik terpakai.

Ini membuka peluang kepada mereka untuk memahami bagaimana teknologi dapat digunakan bagi menyelesaikan masalah dunia sebenar, termasuk isu pencemaran plastik dan kekurangan sumber makanan. Tambahan pula, program ini juga memberi penekanan kepada perkembangan keterampilan digital yang kritikal bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Para peserta diperkenalkan kepada alatan dan aplikasi yang membolehkan mereka memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti serta mempersiapkan diri bagi cabaran masa hadapan. Pelaksanaan aktiviti secara kolaboratif juga membolehkan mereka mengasah kemahiran kerja berpasukan, komunikasi efektif, dan penyelesaian masalah dalam konteks digital.

WhatsApp Image at
Model hidroponik yang dibina pelajar selepas mereka bentuknya menggunakan aplikasi AI

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja mendidik pelajar mengenai teknologi dan kelestarian, tetapi juga mencetuskan minat mendalam terhadap STEM dalam kalangan pelajar. Program STEM Mega di ASDAF diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan dan peningkatan taraf hidup komuniti luar bandar.

WhatsApp Image at ()
Salah satu reka bentuk model hidroponik pelajar

Explore More