JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama syarikat Majuara Rizq Global Sdn. Bhd. telah menganjurkan kursus reka bentuk sistem audio dan video yang bertemakan “Intelligent Workspace” pada 26-27 Ogos 2024.
Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengerusi BPA, JTNCP, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa, dengan harapan bahawa kursus ini dapat memberi manfaat kepada universti melalui peningkatan sistem audio dan video, terutamanya dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Seramai 80 orang peserta dibimbing oleh pakar industri dari syarikat terkenal seperti Extron, Panasonic, Jabra, Commbox, dan Biamp, yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang ini.
Pada hari pertama kursus ini, fokus utama adalah pada reka bentuk sistem audio dan video untuk dewan kuliah dan bilik mesyuarat. Dalam sesi ini, En. Firdaus Lam menjelaskan secara terperinci mengenai reka bentuk teknikal sistem tersebut, bermula dari peranti pengguna (konsep ‘Bring Your Own Device’ atau BYOD), alat-alat yang digunakan, penyampaian tanpa wayar, hingga ke pendawaian yang memastikan paparan dapat disalurkan ke monitor seperti projektor dan papan interaktif.
Panasonic bukan sahaja memberikan penerangan mengenai projektor, yang menawarkan pelbagai pilihan teknologi bulb dan laser, tetapi juga memperkenalkan penyelesaian menyeluruh melalui teknologi baharu mereka, iaitu Smart City. Melalui gabungan alat seperti kamera litar tertutup (CCTV), sensor, dan akses pintu, Panasonic dapat mewujudkan solusi komprehensif untuk bandar pintar.
Sepanjang kursus ini, peserta diberi peluang untuk memahami prinsip asas dan teknik-teknik teknologi terkini dalam mereka bentuk sistem audio dan video yang berkesan. Kursus ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam merancang, memasang, dan mengoptimumkan sistem ini agar dapat memenuhi keperluan khusus dalam persekitaran pendidikan dan korporat.
Kursus ini ditujukan kepada individu yang terlibat dalam pengurusan reka bentuk, penyelenggaraan, pemasangan, serta pengoperasian sistem audio dan video. Ia sangat sesuai bagi profesional yang bertanggungjawab memastikan kelancaran fungsi sistem ini dalam pelbagai persekitaran, seperti institusi pendidikan, syarikat korporat, atau mana-mana organisasi yang memerlukan penyelesaian audio dan video yang mantap. Kursus ini juga menawarkan pengetahuan mendalam yang dapat meningkatkan kecekapan peserta dalam mengendalikan teknologi terkini serta menyesuaikan reka bentuk sistem agar selaras dengan keperluan spesifik pengguna.
Melalui inisiatif ini, UTM memperkukuhkan komitmennya dalam memastikan adaptasi teknologi terkini diterapkan secara menyeluruh dalam sistem bantuan pengajaran yang interaktif. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran, tetapi juga untuk memastikan UTM sentiasa berada di barisan hadapan dalam memenuhi keperluan pendidikan moden yang semakin berkembang. Dengan pendekatan ini, UTM terus menyediakan persekitaran pengajaran yang inovatif dan relevan, membolehkan para pendidik dan pelajar memanfaatkan teknologi terkini secara optimum.