November 5, 2024

Search
Close this search box.
Sustainability digitalization

Pendigitalan kelestarian ke arah kehidupan yang lebih unggul untuk masa hadapan

JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Proses pendigitalan kelestarian harus dilihat sebagai elemen penting dalam usaha mencapai kelestarian yang lebih mendalam dan berkesan. Ini kerana pendigitalan mampu memudahkan akses kepada maklumat dan pendidikan mengenai kelstarian, di samping menjadikan pemantauan serta pengurusan sumber alam lebih efisien.

Setiausaha Agong, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Puteri Nurdiyanatul Akmal A. Rahman, menyatakan bahawa melalui teknologi digital, elemen-elemen seperti perubahan iklim, tahap pencemaran, dan perancangan penggunaan sumber boleh diuruskan dengan lebih efektif.

“Di peringkat universiti, pendigitalan kelestarian dapat membantu pengurusan kampus yang lebih hijau dan lestari. Contohnya, melalui aplikasi yang menggalakkan kitar semula, penjimatan tenaga, pengasingan sisa, dan penghasilan baja organik. Pelbagai aktiviti boleh dimanfaatkan melalui proses pendigitalan kelestarian ini, dan kami sebagai pemimpin masa depan seharusnya menyokong usaha ini ke arah kelestarian yang lebih unggul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara di pejabat MPP UTM sempena Hari Belia Antarabangsa (International Youth Day) 2024, yang disambut setiap tahun pada 12 Ogos. Mengulas lanjut mengenai elemen-elemen kelestarian yang berkaitan dengan mahasiswa, beliau menyenaraikan beberapa aspek penting, termasuk Penggunaan Tenaga di Kampus, Pengurusan Sisa, dan Program Kesedaran Kelestarian.

“Sebagai mahasiswa, elemen-elemen kelestarian ini adalah berkaitan dengan kampus kita semua. Penggunaan sumber tenaga, pengurusan sisa dan kesedaran kelestarian adalah elemen penting yang perlu kita ambil berat. Sekiranya elemen-elemen ini didigitalkan sepenuhnya, kampus boleh menjadi lebih cekap dan mesra alam. Sebagai contoh, pedigitalan sistem penggunaan tenaga boleh membantu menjimatkan elektrik dengan mengoptimumkan penggunaan lampu dan alat pendingin hawa,” katanya.

Program kitar semula pintar pula dapat meningkatkan kadar kitar semula dengan menyediakan maklumat ‘real-time’ mengenai titik pengumpulan dan tahap penggunaan bekas kitar semula. Pendigitalan juga boleh memudahkan penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai kelestarian melalui platform pembelajaran dalam talian dan aplikasi mudah alih.

Bercakap mengenai harapan beliau terhadap pendigitalan kelestarian, Puteri berkata, sebagai mahasiswa, harapannya adalah agar proses ini dipercepatkan supaya komuniti kampus pada masa akan datang dapat menikmati alam sekitar yang sihat dan seimbang.

“Saya berharap teknologi digital dapat digunakan untuk mengumpul data yang lebih tepat dan menyeluruh, sekali gus membolehkan kita membuat keputusan yang lebih cekap dan berkesan mengenai kelestarian alam sekitar. Di peringkat kampus, saya juga beraharap agar universiti kita dapat menjadi contoh dalam penggunaan teknologi digital untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dengan komitmen semua pihak, saya yakin agenda ini dapat dijayakan dengan lebih mudah,” katanya lagi.

Antara SDG yang selaras dengan pendigital kelestarian adalah, SDG 7 (Tenaga Bersih dan Berpatutan) bagi kelestarian penggunaan tenaga dalam kampus universiti, SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) bagi pengurusan sisa, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) untuk platform pembelajaran serta aplikasi mudah alih bagi tujuan penyebaran maklumat dan kesedaran kelestarian. Pendigitalan kelestarian dijangka memudahkan pelaksanaan dan pemantauan aktiviti kelestarian pada masa akan datang sekiranya dilaksanakan sepenuhnya.

WhatsApp Image at
Setiausaha Agong MPP UTM 2023/2024, Puteri Nurdiyanatul Akmal A. Rahman

Explore More