November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Ambisi Semarak Remaja: KDSE cetus inspirasi di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Program Ambisi Semarak Remaja 2024 menekankan pembangunan holistik, di mana program ini melibatkan aspek-aspek yang dapat membangunkan kemenjadian individu, sama ada kepada pelajar Kolej Datin Seri Endon (KDSE), delegasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terlibat, serta warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR) dan penduduk sekitar yang dilawati.

Sebanyak empat aktiviti utama dijalankan iaitu Explorace Merdeka, Pertandingan Doodles Patriotisme, Bicara Inspirasi dan sesi Perkongsian Pengurusan Diri dan Adab, di mana setiap satunya mempunyai objektif tersendiri. Program ini membuktikan bahawa Ambisi Semarak Remaja 2024 merangkumi pelbagai aspek seperti kesukanan, seni kreatif, budaya, serta akademik. Penekanan aspek holistik ini amat digalakkan sebagai usaha mengingatkan setiap individu tentang pentingnya untuk menambah baik kualiti kendiri, bukan sahaja di peringkat akademik, malah dari aspek sosial, kesihatan fizikal, dan mental.

Aktiviti senamrobik bersama warga KOMSTAR

Seramai hampir 500 orang peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 4 telah terlibat dalam tiga aktiviti yang dijalankan secara serentak di SMK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Explorace Merdeka yang melibatkan 150 orang pelajar tingkatan 1, 2 dan 3. Aktiviti ini mempunyai lima checkpoints yang menekankan tentang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sejarah, sukan tradisional, serta pengukuhan Bahasa Melayu.

Explorace Merdeka melibatkan 25 buah kumpulan dari Tingkatan 1, 2 dan 3

Aktiviti kedua pula Pertandingan Doodles bertemakan Malaysia dan Merdeka, yang melibatkan 113 orang pelajar dari tingkatan 1, 2 dan 3. Pertandingan ini menilai elemen kreativiti pelajar serta mengasah bakat terpendam mereka dalam seni pemikiran dan lukisan.

WhatsApp Image at
Pertandingan Doodles Kemerdekaan

Aktiviti ketiga ialah Bicara Inspirasi: Pengalaman di Kampus UTM yang disampaikan kepada pelajar tingkatan 4 oleh Pengerusi Persatuan Alumni UTM Cawangan Terengganu, Dato’ Hj. Ahmad bin Che Abdullah. Sesi ini memberi pendedahan kepada pelbagai topik menarik, sekali gus memberi motivasi kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Aktiviti keempat adalah Perkongsian Pengurusan Diri dan Adab yang disampaikan oleh Dr. Nabilah binti Kasim dan En. Mohd Iskandar bin Ishak dari UTM kepada pelajar tingkatan 4.

WhatsApp Image at
Bicara Inspirasi dan sesi Perkongsian Pengurusan Diri dan Adab

Kemuncak acara adalah Majlis Penutup Ambisi Semarak Remaja 2024 yang dirasmikan oleh Dato’ Hj. Ahmad bin Che Abdullah dan turut dihadiri oleh pengetua sekolah, Dr. Mazni binti Salleh, serta Pengetua KDSE, Dr. Nabilah binti Kasim. Setelah selesai sesi penyampaian hadiah bagi aktiviti yang dijalankan, lagu-lagu patriotik dinyanyikan oleh warga KOMSTAR dan delegasi dari UTM.

Secara keseluruhannya, program ini menerima sokongan, penyertaan dan maklum balas yang sangat baik daripada pihak JPN Terengganu, warga KOMSTAR dan Persatuan Alumni UTM Cawangan Terengganu.

WhatsApp Image at
Barisan Jawatankuasa Pelaksana Program

Explore More