November 25, 2024

Search
Close this search box.
photo

Geotrails semarakkan sambutan bulan kemerdekaan 2024

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) dan Kelab Kebajikan, Ekonomi, Sukan, Multimedia & Agama (KESUMA), JTNCP telah bekerjasama dalam menganjurkan program Geotrails Back to Nature. Program ini bertujuan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dengan pengisian aktiviti mengenali ekosistem flora dan fauna di Malaysia, khususnya di kawasan Hutan Rekreasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Seramai 65 orang peserta, termasuk staf dan ahli keluarga, telah menyertai program ini.

photo
Peserta bergambar sebelum memulakan aktiviti merintis geotrails

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi BPA, JTNCP, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa, yang melepaskan para peserta bersama-sama 15 pembawa bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor. Menurut beliau, program ini bukan sahaja membuka peluang untuk lebih mengenali keindahan alam semula jadi, malah turut menyemarakkan semangat kemerdekaan yang sedang diraikan. Beliau turut menekankan bahawa aktiviti geotrails serta aktiviti plogging sepanjang program ini bukan sahaja membolehkan peserta menikmati keindahan alam, tetapi juga mendidik mereka untuk menjaga kebersihan. Ini selaras dengan nilai-nilai kemerdekaan yang setiap individu perlu hayati, iaitu menghargai kebebasan dan memikul tanggungjawab untuk menjaga warisan ini untuk generasi akan datang.

photo
Ucapan pembukaan dan perasmian oleh Pengerusi BPA

Aktiviti merintis geotrails hutan sepanjang 4 kilometer ini mengajak peserta mengenal dan menghargai ekosistem flora dan fauna yang kaya di Malaysia, khususnya di Hutan Rekreasi UTM. Semangat kemerdekaan bukan sahaja dapat dihayati melalui acara perarakan atau sambutan, tetapi juga melalui hubungan dengan alam sekitar. Alam semula jadi adalah khazanah negara yang tidak ternilai, dan menjaga serta menghargainya merupakan salah satu cara menunjukkan kecintaan terhadap tanah air.

Perjalanan merintis geotrails bermula di taman herba seluas 5 ekar, yang mempunyai pelbagai spesies tumbuhan herba gelugor, sentul, asam jawa, mentega, gajus, kuining, kundang, rambai, belimbing, tongkat ali, karas, buah keras, mahkota dewa, tenggek burung, ajaib, avokado dan sebagainya.

photo
Geoguide sedang memberikan penerangan di taman herba UTM

Seterusnya, peserta meneruskan perjalanan melalui taman buluh yang mempunyai 50 spesies buluh antaranya buluh perindu, buluh tiang layar, buluh benjana, buluh padi, buluh sumpitan, dan lain-lain. Taman buluh ini juga meliputi kawasan seluas 5 ekar.

photo
Peserta mendengar penerangan dari geoguide, En Nizam
photo
Peserta merintis geotrails sambil membawa bendera Jalur Gemilang

Berdekatan taman buluh, peserta berpeluang merasai air akuifer batuan, hasil kajian yang diketua oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan pasukannya. Penyelidikan selama 10 bulan ini menemui air akuifer di kawasan bukit dalam batuan pejal, terletak 158 meter di bawah permukaan tanah.

Antara sorotan menarik sepanjang perjalanan adalah pengenalan kepada pokok Pulai tertua di Hutan Rekreasi, pelbagai jenis pokok herba, pokok primitif, serta penerangan mengenai teknik ikhtiar hidup dalam hutan. Peserta juga dibawa melawat ke kawasan Lata Jernih sebelum menamatkan aktiviti merintis hutan.

photo
Para peserta yang tiba di Lata Jernih 

Program ini menjadi permulaan kepada usaha-usaha lebih besar dalam melestarikan alam sekitar di Malaysia. Marilah bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan ini dengan semangat patriotisme yang tulus, sambil mendekati alam dan memahami tanggungjawab sebagai penjaga bumi yang kita diami.

Explore More