November 22, 2024

Search
Close this search box.
Screenshot at  PM

Gangsa ketiga berturut-turut buat skuad bola sepak senior UTM

KOTA KINABALU, 16 Ogos – Skuad bola sepak senior Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah terkandas di peringkat separuh akhir Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ini merupakan kali ketiga berturut-turut UTM meraih pingat gangsa, selepas edisi 2018 dan 2022, di mana mereka tewas kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan jaringan 2-1 pada 2018 dan tunduk 3-0 kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam edisi 2022.

Acara bola sepak kali ini hanya disertai enam pasukan, yang dibahagikan kepada dua kumpulan, memberi laluan cerah kepada UTM untuk meraih pingat. UTM diletakkan dalam Kumpulan B bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Pada perlawanan pertama menentang UM, UTM hanya menang tipis 1-0 melalui jaringan pada lewat perlawanan. Para pemain bermula dengan berhati-hati dan dilihat bermain perlahan untuk menyesuaikan diri di padang sintetik. Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-76 hasil tandukan Muhammad Ahiezal Abdullah selepas sepakan penjuru oleh Fitri Dzolkarnain.

Screenshot at  PM
Pemain UTM (jersi hijau biru) beraksi dalam perlawanan menentang UNIMAS di Padang Sintetik, UMS

Dalam perlawanan kedua menentang UNIMAS, UTM lebih selesa bermain mengikut rentak sendiri dan menang besar, 4-0 tanpa memberi peluang kepada pihak lawan. Gol pertama dijaringkan oleh Muhammad Fikri Azman menerusi sepakan penalti setelah Muhammad Shyaiful Aiman Nor Apandi dikasari dalam kotak penalti. Selang tujuh minit kemudian, Shyaiful melakukan satu hantaran lintang yang disudahkan oleh penyerang UTM, Muhamad Syahmi Mohamad Fadzliol, untuk mendahului 2-0 pada tamat separuh masa pertama.

Derita UNIMAS berlanjutan pada separuh masa kedua apabila kealpaan pemain lawan dihukum oleh rembatan jarak jauh Fikri, menjadikan kedudukan 3-0. Gol keempat hadir menerusi larian pantas dari sebelah kanan oleh Shyaiful yang merembat kencang, menewaskan penjaga gol UNIMAS. Dengan kemenangan ini, UTM merekodkan enam mata daripada dua perlawanan tanpa dibolosi dan layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan B.

Di separuh akhir, UTM bertemu pasukan tuan rumah, UMS. Perlawanan bermula dengan baik apabila UTM lebih kerap melakukan serangan manakala UMS lebih gemar bertahan pada separuh masa pertama. Memasuki separuh masa kedua, UTM melancarkan serangan sambil mengimbangi pertahanan yang kukuh, namun masih buntu menembusi pertahanan pintu gol pasukan lawan.

Ketika perlawanan seakan berlarutan ke masa tambahan, satu serangan balas dari pasukan UMS telah menghukum pertahanan UTM apabila satu rembatan luar kotak penalti yang rendah menewaskan penjaga gol UTM, Megat Shahimi. Gol itu ternyata menyentap semangat perjuangan pemain namun ia agak sedikit lewat untuk pemain UTM bangkit. Kedudukan kekal hingga ke wisel penamat dan UTM dinafikan sekali lagi ke pentas akhir setelah mencuba tiga kali berturut-turut.

Screenshot at  PM
Skuad penuh bola sepak lelaki senior UTM yang beraksi di UMS

Jurulatih UTM, Khairul Ali, menyifatkan bahawa tuah tidak menyebelahi pasukannya apabila gagal ke final buat kali ketiga berturut-turut. “Saya telah melatih pasukan ini sejak 2018 dan kita nampak peningkatan sejak 2018. Kita telah berusaha bermain lebih baik dari tahun ke tahun dengan beberapa tambahan pemain baharu namun nyata nasib tidak menyebelahi kita. Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini dan bangga dengan prestasi semua pemain,” ujarnya sejurus tamat perlawanan.

Screenshot at  PM
Jurulatih, Khairul Ali (bertopi) memantau sesi pemanasan badan pemain sebelum perlawanan bermula

Kekalahan di peringkat separuh akhir ini menjadikan UTM hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk tiga edisi berturut-turut. Pasukan UTM akan meneruskan latihan selepas tamat SUKUM dan akan mengalih tumpuan ke Liga JBFA yang memasuki pusingan kedua sebaik mereka pulang dari UMS.

Explore More