November 22, 2024

Search
Close this search box.
DSC

JTNCP teruskan usaha naik taraf fasiliti

JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Majlis penyerahan projek naik taraf sembilan tandas di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah berjaya disempurnakan hari ini oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Majlis ini turut dihadiri oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita bte Ali, dan Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin bin Musa, menandakan pencapaian penting dalam usaha meningkatkan kemudahan kampus untuk warga universiti.

Projek naik taraf ini telah dimulakan sejak 21 Januari 2024 dan berjaya disiapkan mengikut kontrak pada 5 Mei 2024. Pengubahsuaian ini adalah selaras dengan usaha universiti untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6, iaitu “Air Bersih dan Sanitasi” serta SDG 9, “Industri, Inovasi, dan Infrastruktur”.

Melalui peningkatan fasiliti tandas ini, universiti bukan sahaja menyediakan kemudahan yang lebih bersih dan mesra pengguna, tetapi juga memastikan bahawa kemudahan ini dibina dan diselenggara dengan prinsip kelestarian, termasuk penggunaan air yang efisien dan bahan binaan yang mesra alam.

DSC
Prof. Edy Tonnizam menyampaikan ucapan kata alu-aluan
DSC
Sesi penyerahan simbolik kunci kepada Dekan FABU
FABU Gambar Sebelum
Keadaan tandas sebelum pengubahsuaian
FABU Gambar Selepas
Keadaan tandas selepas pengubahsuaian

Dalam ucapannya, Prof. Edy Tonnizam menyatakan rasa puas hati dengan hasil kerja yang dilaksanakan dan berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak di FABU. Beliau juga menekankan pentingnya menjaga kemudahan yang disediakan agar kekal dalam keadaan baik dan dapat digunakan untuk jangka masa yang lama.

Prof. Madya Dr. Tajul juga menyatakan bahawa projek ini merupakan inisiatif yang diambil oleh universiti untuk mematuhi garis panduan SDG, khususnya dalam menyediakan infrastruktur yang mampan dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti kampus. Projek naik taraf tandas ini adalah bukti komitmen universiti dalam mendukung agenda SDG, di samping terus berusaha bagi menyediakan persekitaran pembelajaran dan kehidupan yang lebih baik dan lestari buat semua.

Majlis penyerahan projek ini juga disajikan dengan tayangan montaj video projek di mana mereka berpeluang melihat sendiri perubahan dan peningkatan yang telah dilaksanakan serta menjadi rekod dan hebahan kepada warga kampus. Projek naik taraf tandas ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan universiti untuk memperbaiki infrastruktur kampus, dalam usaha menyediakan persekitaran yang lebih baik dan menyokong kecemerlangan akademik serta kehidupan kampus yang lebih selesa.

Catatan : Pn Nurul Nadia & En Nazrul Sham

Foto : En Hafis bin Mohd Said

Explore More