September 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM pupuk kesedaran perubahan iklim dan alam sekitar kepada pelajar sekolah

PONTIAN, 15 Ogos – Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), dengan kerjasama Institut Kelestarian Alam Sekitar (RISE), GCRF Water Security and Sustainable Development Hub, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Yayasan Johor Corporation (YJC), telah menganjurkan Program Kesedaran Perubahan Iklim di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, Pontian, Johor. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah mengenai isu perubahan iklim serta kepentingan menjaga alam sekitar. Tahun ini merupakan tahun ketiga program ini dianjurkan oleh IPASA sebagai penganjur utama.

IMG
Pelajar mendengar taklimat perubahan iklim

Program ini melibatkan 100 orang pelajar Tingkatan 3 dan 4, yang diberikan pendedahan awal mengenai perubahan iklim melalui sesi pembentangan dan aktiviti interaktif. Antara topik yang dibentangkan termasuklah, ‘The Fundamentals of Climate Change’ oleh Prof. Dr. Zainura Zainon Noor, Pengarah IPASA dan ‘Impak Perubahan Iklim dan Pencerapan Iklim’ oleh Dr. Zulfaqar Sa’adi, pascadoktoral IPASA.

Prof. Dr. Zainura memberikan taklimat mengenai ‘The Fundamentals of Climate Change’
IMG
Dr. Zulfaqar memberikan taklimat mengenai ‘Impak Perubahan Iklim dan Pencerapan Iklim’

Pada program kali ini, pelajar diperkenalkan kaedah pengiraan penghasilan karbon doksida bagi setiap rumah berpandukan kepada bil elektrik oleh Prof. Dr. Zainura, serta penghasilan cuka hijau daripada bahan buangan dapur seperti kulit buah dan sayuran layu, oleh Dr Yong Ee Ling. Kedua-dua aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kaedah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana.

IMG
Dr. Yong Ee Ling memberikan penerangan mengenai cara menghasilkan cuka hijau
IMG
Pelajar sedang memulakan proses penghasilan cuka hijau
IMG
Pada peringkat akhir penghasilan cuka hijau, para pelajar memasukkan bahan-bahan ke dalam larutan yang telah disediakan

Selain itu, aktiviti ‘Climate Scientist’, turut dijalankan. Dalam aktiviti ini, pelajar didedahkan kepada fungsi stesen pencerap cuaca dalam proses cerapan data kadar hujan, kelajuan angin, arah mata angin, kelembapan udara serta suhu. Penggunaan alat pengukuran kualiti air secara ‘in-situ’ menggunakan alat ‘multi-parameter’ mudah alih serta kit pemantauan air juga ditunjukkan bagi mendedahkan pelajar kepada kaedah pemantauan kualiti air.

IMG
Dr. Zulfaqar memberikan penerangan bagaimana stesen pencerap cuaca berfungsi
IMG
Dr. Mazlin Jumain memberi penerangan tentang komponen utama tolok hujan
IMG
Dr. Nor Zaiha Arman membentangkan modul pemantauan kualiti air
IMG
Dr. Neo Sau Mei memberikan penerangan mengenai kit pemantauan kualiti air di dalam kumpulan
IMG
Pelajar menjalankan uji kaji pemantauan kualiti air

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar dan diakhiri dengan sesi kuiz interaktif bertajuk “Climate Warrior”, yang menguji kefahaman mereka mengenai perubahan iklim. Hadiah-hadiah disampaikan kepada pemenang oleh Prof. Dr. Zainura, Pengarah IPASA dan Prof. Dr. Azmi Aris selaku Pengarah RISE merangkap ketua program GCRF Water Security and Sustainable Development Hub, UTM.

IMG
Prof. Dr. Azmi Aris menyampaikan hadiah kepada juara keseluruhan bagi program ini
IMG
Prof. Dr. Zainura menyampaikan hadiah saguhati kepada pelajar

Pengarah Program, Ts. Dr. Nur Syamimi Zaidi dalam ucapannya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain, bagi memastikan generasi muda lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar. Akhir sekali, ucapan penutup disampaikan oleh En. Shahrazali bin Sahlan, Timbalan Pengurus Yayasan Johor Corporation, yang juga merupakan penaja bersama program ini. Pihak pengajur juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua SMK Dato’ Penggawa Barat, Puan Rosliza binti Rahmat atas kesudian menjemput pihak IPASA, UTM untuk menjayakan program ini.

IMG
Ts. Dr. Nur Syamimi Zaidin menyampaikan harapan dan amanat agar legasi ini diteruskan oleh generasi muda hari ini
IMG
Penyampaian sijil penghargaan kepada Yayasan Johor Corporation
IMG
Penyampaian sijil penghargaan kepada pihak SMK Dato’ Penggawa Barat

Explore More