November 22, 2024

Search
Close this search box.
APC

Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian MoU UTM dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri: Pemangkin Pembangunan Komuniti di Iskandar Puteri

Iskandar Puteri, 17 Ogos 2024 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah melakar sejarah baru dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Mydin, Mutiara Rini semalam. Majlis ini yang dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, wakil-wakil dari sektor pendidikan, kesihatan, dan organisasi komuniti Iskandar Puteri, menandakan permulaan kerjasama yang lebih erat dalam usaha membangunkan komuniti di Iskandar Puteri.

Pertukaran dokumen tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara merangkap Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri bersama Yang Berhormat Prof. Dr. Rosli bin Mohd Illias Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM diringi oleh Yang Mulia Ungku Suzana binti Ungku Mohammad, Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merangkap Setiausaha Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan juga Wakil Rasmi Datuk Bandaraya Iskandar Puteri dan Yang Berbahagia Dato’ Abd Rashid bin Kasman, Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri. Turut hadir majlis ini adalah Yang Berbahagia Prof. Dr. Johari bin Surif, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM dan Yang Berbahagia Prof. Dr. Arief Salleh Rosman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.

 

APC
Pertukaran Dokumen MoU antara UTM dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri

Menurut Prof. Dr. Rosli, “Kerjasama antara UTM dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri adalah sangat penting kerana ia menggabungkan kepakaran akademik dan penyelidikan UTM dengan keupayaan Yayasan dalam menggerakkan masyarakat setempat. Sinergi ini dijangka dapat mempercepatkan pembangunan komuniti yang mampan dan inklusif.” Kerjasama ini dijangka memberi impak besar, terutamanya dalam program-program pembangunan komuniti untuk individu yang menghadapi Autism Spectrum Disorder (ASD) di Iskandar Puteri. UTM akan menyediakan sokongan akademik dan penyelidikan yang diperlukan, manakala Yayasan Penyayang Iskandar Puteri akan memastikan pelaksanaan program-program tersebut berjalan lancar dengan penglibatan aktif komuniti.

APC
Ucapan Aluan Yang Berhormat Prof. Dr. Rosli bin Mohd Illias Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

 

Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan pula menegaskan, “Kerjasama ini adalah satu langkah proaktif dalam usaha kita untuk memperkukuh kesejahteraan sosial di Iskandar Puteri. Melalui program-program yang akan dilaksanakan, kita dapat menyediakan sokongan yang lebih baik kepada komuniti Autism serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk membangunkan kemahiran mereka melalui program MBPK dan TVET.” Kerjasama ini menandakan komitmen yang tinggi oleh kedua-dua pihak dalam merealisasikan pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan, dan kesejahteraan komuniti di kawasan Iskandar Puteri. Pihak UTM dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri berharap dapat menjadikan Iskandar Puteri sebagai model bandar yang inklusif dan berdaya saing di Malaysia.

APC
Ucapan Perasmian ang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed

 

Dengan termeterainya MoU ini, diharapkan bahawa usaha bersama ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek pembangunan komuniti di masa hadapan, sekaligus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi komuniti dalam memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif di Iskandar Puteri.

 

Explore More