November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

UTM-UMS perkukuh AI negara dan kolaborasi global melalui SDG 17

KOTA KINABALU, 14 Ogos – Delegasi pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meneroka peluang kolaborasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian kampus. Delegasi UTM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, turut disertai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Kampus Kelestarian (UTMCS), Prof. Madya Dr. Ts. Ir. Mohd Khairi Abu Husain, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), serta Encik Zurik Azaham Aris, Ketua Bahagian Pejabat Pendaftar UTM Kuala Lumpur.

Di pihak UMS, sesi lawatan ini disambut mesra oleh barisan pengurusan UMS yang terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof. Ts. Dr. Rayner Alfred, Pengarah Pusat Penyelidikan Kecerdasan Mesin Lanjutan Kreatif (CAMIRC), Dr. Farashazilla Yahya, Pengarah Pusat Pengurusan Data dan Maklumat (PPDM), Dr. Ervin Gubin Moung, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, serta Puan Molly Donna Awang Sham, Timbalan Pendaftar Kanan FKI.

Sesi lawatan ini dimulakan dengan pembentangan ringkas yang menyoroti latar belakang dan pencapaian kedua-dua universiti, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan. Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh menekankan kepentingan kerjasama strategik ini, selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mempercepatkan penerapan teknologi AI dalam pelbagai sektor industri di Malaysia.

WhatsApp Image at
Dekan FKI bersama pegawai atasan UMS menyambut kedatangan delegasi UTM

Prof. Madya Dr. Ts. Ir. Mohd Khairi Abu Husain, dalam perbincangan tersebut, telah mengutarakan potensi besar kolaborasi ini, terutamanya dalam penerapan amalan kelestarian dalam pembangunan teknologi AI. Perbincangan juga menyentuh mengenai bagaimana kedua-dua universiti dapat memainkan peranan aktif dalam Konsortium AI Malaysia (MAIC), yang mana UTM merupakan salah satu perintisnya.

Salah satu topik utama yang dibincangkan adalah cabang kolaborasi yang merangkumi projek penyelidikan bersama dalam bidang AI, program peningkatan kemahiran, serta inisiatif pendidikan yang menekankan aspek etika AI. UTM dan UMS bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ini melalui pelbagai inisiatif yang bakal dijalankan di bawah payung Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI)-UTM, FKI-UMS, Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO)-UTM, serta CAMIRC-UMS.

Prof. Ts. Dr. Rayner Alfred turut menyatakan minat pihak UMS untuk menyertai pelbagai inisiatif yang diatur oleh MAIC, sambil menambah bahawa kepakaran penyelidik UMS dalam kecerdasan mesin lanjutan dan AI kreatif dapat menyumbang kepada perkembangan pesat dalam bidang ini.

Lawatan ini diakhiri dengan persetujuan untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang sedia ada, terutama dalam bidang pengajaran dan penyelidikan. Kedua-dua universiti berhasrat untuk mengadakan pertemuan susulan bagi memperincikan projek kolaborasi yang telah dibincangkan, dengan matlamat melatih bakat AI yang kompeten dan menarik pelaburan industri tempatan.

WhatsApp Image at ()
Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur bersama Dekan FKI, UMS

Kolaborasi ini bukan sahaja dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkasakan teknologi kecerdasan buatan di Malaysia, tetapi juga sebagai usaha menyumbang kepada kelestarian kampus melalui penerapan teknologi AI dan amalan terbaik dalam pengurusan sumber. Dengan kerjasama erat antara UTM dan UMS, ini adalah contoh nyata pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17, iaitu Kerjasama demi Matlamat, yang menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa untuk mencapai objektif global. Inisiatif ini tidak hanya memperkukuh hubungan akademik, tetapi juga membuka peluang untuk pembangunan mampan dan inklusif dalam era digital.

Ditulis oleh: Abd Latif Saleh, Mohd Khairi Abu Husain dan Shamsul Sarip

Explore More