November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pemindahan ilmu melalui Klinik Olahraga di Sekolah Orang Asli

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pendidikan (SoE), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah berjaya melaksanakan inisiatif penting dalam pemindahan ilmu dengan menganjurkan Klinik Asas Olahraga di SK Ladang Pendas. Program ini melibatkan pelajar Tahun 4 Sains Sukan, yang memainkan peranan aktif dalam menyebarkan pengetahuan sukan kepada guru dan murid di sekolah tersebut.

Pelajar Sains Sukan UTM bersama guru di SK Ladang Pendas

Klinik Olahraga ini diadakan dalam dua sesi berasingan, iaitu pada 13 Mei 2024 untuk murid dan pada 20 Mei 2024 untuk guru. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan, pengetahuan, dan kesedaran dalam bidang sukan, khususnya olahraga, dalam kalangan komuniti sekolah Orang Asli. Selain itu, klinik ini bertujuan membina kemahiran asas olahraga serta memberi pendedahan awal kepada teknik-teknik sukan yang betul kepada guru-guru dan murid-murid.

Program ini selaras dengan hasrat UTM untuk memastikan ilmu yang diperoleh di universiti dapat dimanfaatkan oleh komuniti luar. Inisiatif sebegini tidak hanya memberi kesan positif kepada murid dan guru di sekolah yang terlibat, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar Sains Sukan yang bakal menjadi guru untuk memperoleh pengalaman berharga bersama komuniti Orang Asli.

Aktiviti bermula seawal 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran dan taklimat oleh pelajar UTM kepada peserta. Peserta diperkenalkan kepada pelbagai disiplin olahraga seperti lompat jauh, lontar peluru, rejam lembing, serta larian berganti-ganti. Murid-murid menunjukkan minat yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dikendalikan, manakala guru-guru diberi latihan khusus untuk memahami teknik yang betul dalam pengajaran olahraga di sekolah.

Murid-murid SK Ladang Pendas mengikuti Klinik Asas Olahraga
Guru-guru SK Ladang Pendas menjalani praktikal larian menggunakan starting block

Guru Besar SK Ladang Pendas, Encik Souib Hamat, memuji usaha pelajar Sains Sukan dari UTM dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan. “Ini adalah satu peluang keemasan buat kami, terutamanya bagi murid-murid sekolah Orang Asli yang mungkin jarang mendapat pendedahan seperti ini. Kami sangat berterima kasih kepada UTM atas inisiatif ini,” katanya.

Teori dan praktikal lontar peluru
Demonstrasi lakuan rejam lembing

Pada akhir program, borang maklum balas diedarkan kepada guru dan murid untuk menilai keberkesanan klinik tersebut. Maklum balas ini akan menjadi panduan kepada penganjur untuk menambah baik program yang akan datang, dengan harapan dapat memenuhi keperluan peserta dengan lebih baik.

Murid-murid mengisi borang maklum balas selepas klinik
Pengarah program memberi taklimat penutup pada “Klinik Asas Olahraga SKLP”

Program Klinik Asas Olahraga ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada peserta, tetapi juga menjadi platform bagi pelajar UTM untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti dalam situasi sebenar. Usaha ini seiring dengan matlamat UTM untuk  menjadi sebuah universiti yang aktif dalam pemindahan ilmu kepada komuniti, serta menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Melalui kerjasama erat antara universiti dan sekolah, bakat sukan dapat dikenalpasti dan dibangunkan sejak usia muda, sekali gus menyumbang kepada pembangunan atlet negara di masa hadapan.

photo
Pelajar Sains Sukan yang terlibat sepanjang program berlangsung

 

Explore More