JOHOR BAHRU, 20 Mei – Pelajar Tahun 4 Sains Sukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program “Mencari Wira SKLP” di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas, dengan penyertaan seramai 106 orang murid daripada komuniti Orang Asli. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan penglibatan dalam sukan melalui aktiviti permainan bola sepak dan bola baling sekali gus memperkukuh sosialisasi sukan dalam kalangan murid.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid mengenai hubungan antara sukan dari perspektif sosial dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, program ini juga bertujuan mencungkil bakat murid dalam sukan bola sepak dan bola baling yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan ini, bakat sukan di kalangan komuniti Orang Asli dapat diketengahkan sebagai salah satu aspek kemajuan sukan di Malaysia.
Selain meningkatkan kemahiran sukan, program ini juga membantu pelajar UTM mempelajari cara menguruskan program dan acara berkaitan sukan dengan lebih profesional. Ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman langsung dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sukan, sekaligus memperkukuhkan kemahiran asas mereka sebagai pendidik dan pengurus sukan masa depan.
Program dimulakan dengan perjalanan menaiki bas selama 40 minit ke SK Ladang Pendas, sebelum aktiviti bermula dengan bengkel asas bola sepak dan bola baling. Setelah bengkel tersebut, diadakan pertandingan mini untuk kedua-dua sukan, dengan kategori dibahagikan mengikut tahap murid. Tahap 1 dan Tahap 2 masing-masing mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak dan bola baling yang menonjolkan semangat kesukanan dan nilai-nilai murni dalam diri para peserta.
Perkongsian kepakaran dan pengetahuan oleh pelajar Sains Sukan UTM mendapat sambutan hangat daripada murid dan guru. Melalui program ini, murid-murid dapat meningkatkan tahap kefahaman dan kemahiran dalam sukan bola sepak dan bola baling di samping menyedari kepentingan program kesukanan dalam membentuk masyarakat yang dinamik dan harmoni. Program ini juga berjaya menyemai elemen-elemen Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam pendidikan sukan.
Program “Mencari Wira SKLP” bukan sahaja berperanan dalam memupuk bakat sukan di kalangan murid-murid tetapi juga memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya sukan dalam kehidupan harian dari sudut sosial. Ini merupakan satu lagi langkah penting dalam mengiktiraf potensi komuniti Orang Asli dalam menyumbang kepada perkembangan sukan negara.
Jawatankuasa pelaksana program merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SK Ladang Pendas atas kerjasama dan layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Adalah diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperbanyakkan lagi perkongsian kepakaran dengan sekolah-sekolah di seluruh negara.