September 19, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Pendakian Gunung Kinabalu bawa misi SDG, Semarak Merdeka ke-67

KUNDASANG, 13 Ogos – Sekumpulan pendaki dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah melaksanakan ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu dengan misi besar, menyemarakkan semangat Kemerdekaan Malaysia ke-67 melalui tema “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka”, di samping mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ekspedisi ini diketuai oleh Prof. Ts Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur; Prof. Madya Dr. Ts. Ir. Mohd Khairi Abu Husain, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC); En. Zurik Azaham Aris, Ketua Bahagian Pejabat Pendaftar UTM Kuala Lumpur; dan Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Kampus Kelestarian UTM (UTMCS). Mereka turut dibimbing oleh malim gunung berpengalaman, Henri Sirai.

Pendakian bermula seawal jam 3 pagi dan pada tepat jam 7.30 pagi, kumpulan pendaki ini berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095.2 meter. Kejayaan ini bukan sahaja menandakan pencapaian fizikal yang luar biasa, tetapi juga simbolik kepada semangat kemerdekaan dan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.

WhatsApp Image at
Kumpulan pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu

Di puncak gunung yang berangin dan dingin, kumpulan pendaki ini mengibarkan bendera UTM dan bendera SDG dengan penuh semangat patriotisme. Ini adalah sebahagian daripada usaha mereka menyemarakkan tema “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka” bersempena ulang tahun kemerdekaan negara. Tambahan pula, pendaki turut melaksanakan aktiviti mengutip sampah yang ditinggalkan oleh pendaki lain di sepanjang laluan dan di puncak. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada inisiatif mereka dalam memelihara keindahan Gunung Kinabalu, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

WhatsApp Image at
Program membersihkan puncak gunung bersama malim gunung

Selain daripada menyemarakkan semangat kemerdekaan, ekspedisi ini juga merupakan sebahagian daripada Program High Performance Teambuilding yang mempunyai matlamat untuk membina pasukan yang kukuh dan bersatu. Aktiviti ini berperanan sebagai platform untuk memupuk kefahaman yang lebih mendalam tentang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sambil menyumbang kepada usaha kelestarian alam.

Antara objektif program ini termasuklah pemantapan semangat kerjasama melalui perbincangan dan interaksi yang mendalam dalam kalangan peserta. Program ini turut menggalakkan daya tahan fizikal dan mental melalui aktiviti lasak serta khidmat bakti yang menyumbang kepada pembentukan individu yang kental dan serba boleh. Di samping itu, ia juga membudayakan gaya hidup sihat di kalangan staf UTM, menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada cara hidup yang proaktif dan sihat.

WhatsApp Image at
Kumpulan pendaki dari UTM Kuala Lumpur

Ekspedisi ini memperlihatkan kesungguhan dan kerjasama tinggi yang ditunjukkan oleh para pendaki, mencerminkan komitmen UTM bukan sahaja terhadap kelestarian alam sekitar tetapi juga penghargaan mendalam terhadap warisan kemerdekaan negara. Kejayaan pendakian ini menjadi inspirasi bagaimana pengembaraan dan aktiviti fizikal boleh digabungkan dengan kesedaran sosial, komitmen kepada SDG, dan semangat patriotisme yang mendalam.

Explore More