September 19, 2024

Search
Close this search box.
FE Dr Azhar

Tarikh dan sambutan merdeka tidak pernah luput dalam ingatan pemimpin dan rakyat kerana ia suatu peristiwa besar serta penting menghidupkan semangat patriotisme dan cinta akan negara. Setiap tahun negara akan merayakannya dengan pelbagai acara sambutan kecil dan besar di semua peringkat institusi dan masyarakat. Sambutan dan program menyambut bulan kebangsaan dan kibar bendera ini tidak meriah tanpa slogan yang disulam bersamanya. Pada tahun 2024, slogan ‘Malaysia MADANI; Jiwa Merdeka’ telah dipilih dan diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Putrajaya pada 5 Jun 2024.

31 Ogos adalah tarikh keramat kepada seluruh rakyat Malaysia. Tarikh yang memberi makna mendalam sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka iaitu nikmat bebas dan berjiwa merdeka. Merdeka membolehkan sesebuah negara itu ‘berdiri di atas kaki sendiri’. Bebas menentukan hala tuju dan wawasan masa hadapan. Tentunya, sebuah negara merdeka seperti Malaysia beriltizam mengapai kemajuan dan kemakmuran ekonomi, hidup aman dan harmoni dalam kepelbagaian kaum, agama serta ideologi. Ternyata, sejak 67 tahun mengecap nikmat merdeka, Malaysia semakin matang dan telah melalui proses turun-naik pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, politik dan sosial. Jelas, kemerdekaaan telah mencipta peluang untuk membangun, maju dan progresif dengan acuan sendiri menerusi segala sumber, potensi serta kompetensi yang negara miliki.

‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ adalah tema yang diangkat untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2024. Tema ini bertujuan untuk menyuburkan nilai-nilai MADANI dalam jiwa rakyat Malaysia. Nilai-nilai MADANI berupaya menjadi benteng menghadapi masa hadapan yang sangat mencabar dan berisiko khususnya pada era digital ini. Justeru, pemimpin dan rakyat perlu seiring dan sejalan untuk membina sebuah negara dan peradaban yang memiliki ciri ‘baldatun thayyibatun wa rabbun ghofur’.

Tema yang terungkap ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan Rukun MADANI dapat dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat. Ia juga bertujuan untuk menyuntik kesepaduan dan perpaduan rakyat. Pada masa yang sama memperkuat semangat patriotisme dan cintakan negara. ‘Jiwa Merdeka’ perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat agar menghargai dan memanfaatkan kebebasan bertatanegara. Jiwa bebas dan merdeka tidak bermakna dan kosong tanpa adanya pegangan dan penghayatan nilai yang tinggi.

Konsep ‘Malaysia MADANI’ menekankan prinsip hidup yang berteraskan nilai-nilai murni, inklusif, dan progresif. Ini termasuk keadilan sosial dan ekonomi, pengagihan kekayaan, serta akses yang adil kepada pendidikan dan peluang ekonomi kepada semua lapisan rakyat. Malaysia MADANI juga mengutamakan etika, integriti dan tadbir urus yang baik, dengan harapan untuk ‘memerdekakan’ Malaysia daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini dapat dilakukan dengan membatinkan sikap integriti kepada pemimpin dan segenap masyarakat. Inilah maksud ‘jiwa merdeka’ dalam ketatanegaraan iaitu membina diri sebagai seorang pemimpin dan rakyat yang berakhlak tinggi, berintegriti, berdisiplin, patuh undang-undang dan memiliki minda kelas pertama. Semua komponen ‘Jiwa Merdeka’ dengan nilai manusiawi ini jelas terpancar menerusi enam teras Rukun MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Pada hari ini, hampir semua sektor kehidupan; ekonomi, politik dan sosial dipengaruhi oleh ketidaktentuan, kompleksiti, kerancuan dan kerencaman yang berlaku pada peringkat lokal dan global. Gejala-gejala besar seperti peperangan, pemanasan dan pencemaran global, pemerdagangan sosial, kelaparan, kemiskinan, diskriminasi ekonomi dan sosial, pengangguran, konflik kaum dan rasisme, ekstrimisme dan Islamofobia dan seribu satu macam gejala lain berakar daripada merudum dan melemahnya ‘nilai manusiawi’ dan’ jiwa merdeka’.

Semua gejala-gejala yang muncul tersebut ekoran sikap manusia yang tamak, tidak amanah, eksploitatif, penting diri dan hilangnya ‘kesedaran bertuhan’. Justeru, menyedari cabaran getir dan kritikal yang dihadapi, maka slogan yang tinggi ‘nilai keihsanan’ ini diangkat bagi menyuntik dan mengembalikan defisit patriotisme, perpaduan, adab dan kemanusiaan yang semakin menipis .

‘Jiwa Merdeka’ merujuk kepada situasi di mana setiap individu, sama ada pemimpin mahupun rakyat, bebas dalam semua ranah kehidupan seperti kebebasan belajar, berfikir, bersuara, dan bertindak. Ini termasuk kebebasan dalam konteks agama dan ideologi, selaras dengan lunas undang-undang seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Dalam konteks pemimpin, jiwa merdeka menghendaki agar mereka sentiasa bertanggungjawab dan berpusatkan rakyat dengan mengalas amanah dengan adil dan telus. Manakala Jiwa Merdeka dalam kalangan rakyat pula mencerminkan kebebasan untuk menjadi diri sendiri serta menjadi warga negara yang baik dengan cita-cita peribadi yang selari dengan matlamat pembangunan negara.

Masyarakat yang memiliki ‘Jiwa Merdeka’ akan mempamerkan kebebasan dalam berfikir dan bersuara. Ini termasuk keberanian untuk mengemukakan idea, pendapat dan kritikan yang bebas daripada tekanan dan ancaman. Kebebasan ini penting untuk membentuk masyarakat yang berfikiran terbuka, kritis, inovatif serta saling menghormati perbezaan pendapat. Had dan sempadan berbalas hujah dan pandangan di mana sekali pun, usah sampai ke tahap menghasut, membenci, memfitnah dan mengadu-domba. Masyarakat demokratik yang berjiwa merdeka dipimpin oleh pemikiran rasional, nilai, budaya dan praktis agama yang tinggi. Masyarakat yang berjiwa merdeka akan menekankan pentingnya adab, etika dan integriti dalam setiap aspek kehidupan.

Maka, kebebasan bersuara dan berpendapat mestilah tidak mengingkari lunas undang-undang, tatasusila dan adab. Jika kebebasan total dibenarkan, ini akan menyebabkan berlakunya segregasi dan disintegrasi yang membelah kerukunan serta kesepaduan masyarakat pelbagai kaum, agama dan ideologi. Kebebasan total hanyalah suatu utopia walaupun di negara-negara yang mengamalkan ‘demokrasi penuh’ (full democracy) seperti Sweden, Norway, Finland dan Denmark.

Parameter ‘Jiwa Merdeka’ juga boleh dijelmakan kepada rakyat menerusi pengagihan sumber dan akses terhadap peluang yang saksama dalam pendidikan, kesihatan, dan pekerjaan. Masyarakat yang berjiwa merdeka seharusnya dapat menikmati keadilan ekonomi, politik dan sosial yang mampan, iaitu semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kemakmuran negara. Semua golongan terbela, tidak tersisih dan sentiasa dalam radar keprihatinan kepimpinan negara.

Pendidikan yang berkualiti dan sepanjang hayat penting dalam membentuk ‘Jiwa Merdeka’. Masyarakat yang berjiwa merdeka akan melibatkan diri dalam proses pembelajaran dan pembangunan diri, serta menghayati nilai-nilai murni dan agama yang dapat membentuk akhlak dan sahsiah terpuji. Justeru, sistem pendidikan negara mesti mengutamakan nilai dan pembangunan karakter agar menghasilkan warga negara yang berjiwa merdeka dengan disiplin, tatasusila dan adab kesopanan yang tinggi.

Selain itu, kesedaran terhadap budaya, tradisi, warisan dan kearifan lokal juga merupakan indikator penting ‘Jiwa Merdeka’. Masyarakat yang menghargai nilai, budaya dan sejarah masa lalunya akan lebih cenderung untuk mempertahankan nilai-nilai mulia dan membina perpaduan dalam kepelbagaian. ‘Jiwa Merdeka’ dapat dilihat melalui sikap toleransi dan saling menghormati perbezaan dalam masyarakat. Masyarakat yang merdeka akan mampu hidup dalam keadaan harmoni, bersatu-padu, dan saling membantu dalam mencapai matlamat dan kemakmuran bersama.

 

Penulis merupakan Profesor Madya di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, dan juga Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, UTM.

Explore More