KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menekankan kepentingan pentaksiran risiko dalam setiap aktiviti dan program yang dianjurkan sebagai langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh komuniti kampus. Pentaksiran risiko merupakan satu proses penting yang melibatkan mengenal pasti, menganalisis, dan mengambil tindakan untuk mengurangkan bahaya yang mungkin berlaku dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di universiti ini. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan kemalangan, kecederaan, dan insiden yang tidak diingini.
Sehubungan dengan itu, satu kem pemantapan dan bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ), UTM Kuala Lumpur pada 19 – 21 Julai 2024 di Pulau Perhentian, Terengganu. Timbalan Pengarah Seksyen Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Ts. Dr. Sa’ardin Abdul Aziz, telah dijemput sebagai penceramah. Majlis perasmian kem ini disempurnakan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang diiringi oleh En. Arman Md. Yasin, Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), serta Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pengetua KSJ dan Pelajar Luar Kampus (PLK).
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat menegaskan bahawa pentaksiran risiko adalah satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan. Ia membolehkan kita mengenal pasti potensi bahaya dengan awal dan merancang langkah-langkah mitigasi yang perlu. Beliau juga menyatakan bahawa UTM berusaha untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan pelajar dan kakitangan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan. “Kesedaran keselamatan adalah elemen penting dalam memastikan kampus ini sentiasa selamat untuk semua,” katanya.
Melalui bengkel ini, Prof. Madya Ts. Dr. Sa’ardin menekankan pematuhan terhadap aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam semua program rasmi UTM, merujuk kepada Pekeliling Pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia Bil. 29 Tahun 2016. Pekeliling ini menyatakan bahawa semua Fakulti/ Sekolah/ Bahagian/ Pusat Tanggungjawab serta semua pelajar atau penganjur luar UTM hendaklah melaksanakan Pentaksiran Risiko melalui Borang Event Safety Checklist.
Selain itu, beliau juga mengadakan sesi perkongsian bersama ahli JKM mengenai keperluan melakukan pentaksiran risiko dan melatih mereka menjadi penilai risiko yang terlatih. Ini diharapkan dapat memperkuat budaya keselamatan di kalangan warga kampus dan memastikan semua aktiviti di dalam kampus memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Pihak pengurusan UTM, melalui Pejabat OSHE UTM, turut menegaskan bahawa pentaksiran risiko adalah satu langkah berterusan yang sentiasa dikaji dan diperbaharui mengikut keperluan dan keadaan semasa. Ini adalah sebahagian daripada usaha universiti untuk menggalakkan budaya kerja selamat di kalangan warga kampus. Dengan adanya pentaksiran risiko yang menyeluruh dan sistematik, UTM bukan sahaja dapat memastikan keselamatan fizikal, tetapi juga membantu dalam perancangan dan pengurusan aktiviti yang lebih baik dan berkesan.