November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Jalinan Serumpun pupuk kerjasama melalui program biodiversiti

KOTA MALANG, 28 Jul. – Kelab Evolusi Ilmu (EVO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, telah bekerjasama dalam Program Jalinan Serumpun bertemakan biodiversiti di Bajulmati Sea Turtle Conservation (BSTC). Program ini melibatkan 24 orang pelajar, yang diiringi oleh penasihat Kelab EVO, UTM, iaitu Dr. Nurzal Effiyana binti Ghazali, Dr. Nor Farahwahidah binti Abdul Rahman, serta tiga orang pensyarah dari UM.

Program ini mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14 dan 15, yang bertujuan melindungi biodiversiti dengan memfokuskan kepada kepelbagaian spesies dan ekosistem di kawasan pantai Bajulmati. Program ini memperlihatkan peranan universiti dalam mendukung usaha komuniti setempat untuk melindungi ekosistem bakau dan kawasan pendaratan penyu. Para pelajar juga berpeluang mengikuti simulasi konservasi penyu serta mempelajari teknik penanaman pokok bakau, selaras dengan matlamat BSTC.

Kerjasama antara UTM dan UM dengan BSTC diperluaskan melalui sumbangan universiti dalam bentuk produk pelancongan pendidikan (Edutourism) bagi menyokong pelaksanaan Sekolah Alam. Produk yang dihasilkan berupa postcard akan menjadi sumber penjanaan hasil bagi Sekolah Alam apabila program pendidikan dijalankan.

Hasil kerja 'postcard' untuk pihak Bajulmati Sea Turtle Conservation
Hasil kerja postcard untuk pihak Bajulmati Sea Turtle Conservation

Para pelajar dari kedua-dua universiti telah mengadakan perbincangan secara dalam talian bagi memastikan produk edutourism yang dihasilkan sesuai dengan kemampuan fasiliti komuniti yang disasarkan. Perbincangan ini diketuai oleh Anis Sofea binti Suhaimi dari UTM dan Asroriyatul Bahiroh dari UM.

Pelajar daripada kedua-dua universiti sedang menyiapkan postcard
Pelajar dari kedua-dua universiti sedang menyiapkan postcard
Pensyarah-pensyarah pengiring daripada UTM menyerahkan postcard tersebut kepada pihak Bajulmati Sea Turtle Conservation
Pensyarah pengiring dari UTM menyerahkan hasil kerja kepada pihak Bajulmati Sea Turtle Conservation

Program pemindahan ilmu ini memberi impak besar kerana memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. UTM terus mendukung usaha pemindahan ilmu ini di peringkat nasional dan antarabangsa. Pelaksanaan Program Jalinan Serumpun ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi menyemarakkan semangat warga universiti dalam mencapai kemampanan dan kesejahteraan hidup bersama komuniti.

Explore More