JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Sekolah Pendidikan (SoE), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berjaya menganjurkan kursus latihan pendidikan antarabangsa untuk tenaga pengajar dari Shandong Vocational and Technical University of International Studies (山东外国语职业技术大学 – SWUT). Seramai 20 orang tenaga pengajar SWUT daripada pelbagai bidang kepakaran, termasuk psikologi pendidikan, teknikal dan vokasional, teknologi pendidikan, multimedia, perniagaan, hospitaliti, serta bahasa dan literasi, telah menyertai program ini.
Program ini dikelolakan oleh lima orang pensyarah kanan FSSH, dua orang fasilitator, serta dibantu oleh empat orang penterjemah yang juga pelajar antarabangsa UTM dari China. Program selama lapan hari ini, yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2024 di Cengal Suite, Pulai Spring Resort, Johor Bahru, bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.
Melalui kerjasama ini, diharap SoE dan FSSH, serta UTM, dapat memperkasa hubungan antarabangsa dari aspek pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, serta mewujudkan program mobiliti untuk pelajar dan staf akademik. Hasil daripada program ini, kedua-dua universiti bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan merancang penyelidikan bersama, serta berkongsi kepakaran dalam usaha meningkatkan visibiliti UTM di peringkat global.
Program yang diketuai oleh Dr. Zakiah binti Mohamad Ashari ini berjaya mengukuhkan hubungan antara SWUT dan FSSH UTM. Pada hari pertama, program dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Prof. Dr. Noraffendy Yahaya, Pengerusi SoE, FSSH, dan Prof. Madya Dr. Aede Hatib bin Musta’amal @ Jamal, Pengarah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, FSSH. Selepas perasmian, peserta diperkenalkan dengan budaya dan sistem pendidikan di Malaysia secara ringkas, di mana mereka tutut terhibur dengan nyanyian lagu tradisional Malaysia.
Program diteruskan dengan lawatan ke Melaka dan Kuala Lumpur. Peserta diperkenalkan dengan budaya dan adat Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah, diikuti lawatan ke Kuala Lumpur untuk menikmati pemandangan sekitar ibu kota Malaysia. Semua peserta menginap selama dua hari dua malam di UTM Hotel & Residence sebelum berangkat pulang ke Shandong, China. Program ini berakhir dengan menghantar rombongan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, diikuti kepulangan ahli jawatankuasa ke kampus induk, UTM Johor Bahru.