November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMGL

JOHOR BAHRU, 15 Jul. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan inisiatif bantuan kewangan kepada mahasiswa semenjak inisiatif ini digerakkan pada 2022 yang lalu. Kali ini, 85 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada keluarga berstatus B40 menerima bantuan ini dalam suatu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru, hari ini.

Majlis Penyampaian Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ini disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, disaksikan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Prof. Datuk Ahmad Fauzi berkata inisiatif seperti ini amat penting dalam memastikan mendapat peluang yang sama untuk mencapai akademik.

IMGL
Prof. Datuk Ahmad Fauzi ketika menerima cek penyerahan bantuan daripada Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki (kiri)

“Bantuan pengajian yang diberikan melalui program ini adalah satu langkah proaktif untuk meringankan beban tersebut dan seterusnya dapat memberi motivasi kepada pelajar yang terlibat.

“Saya berharap pihak PTPTN dapat memperkasakan lagi bantuan ini agar lebih ramai pelajar yang berpeluang menerima bantuan seperti ini pada masa hadapan,” ujar beliau.

Dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM42,500, setiap pelajar bantuan bakal menerima RM500 yang disalurkan secara terus ke dalam akaun PTPTN masing-masing.

Bantuan ini diberikan bertujuan untuk meringankan kos sara hidup pelajar, di samping membantu pelajar menampung kos pengajian, dan keperluan akademik yang lain selain dapat menjadi pendorong kepada pelajar mencapai kecemerlangan dan seterusnya mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik.

Nurul Ayuni Mohd Azmi, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dengan Pendidikan di UTM, bantuan ini amat membantu bagi menampung kos sara hidup lebih-lebih lagi pada semester kedua memandangkan tempoh semester berkenaan yang lebih Panjang dan memerlukan lebih banyak perbelanjaan,” katanya.

IMGL
Nurul Ayuni ketika ditemui wartawan sewaktu majlis berkenaan

Foo Ru Yau, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah di UTM pula menyifatkan bantuan ini amat baik dan bersyukur dengan peluang yang diterima yang dilihat dapat membantunya menampung perbelanjaan harian selain dapat digunakan bagi semester yang baharu.

IMGL
Foo Ru Yau sewaktu menerima mock up bantuan KPT-PTPTN Prihatin

Dalam suatu kenyataan, PTPTN akan terus berperanan penting dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang setara dan memperkasa pendidikan tinggi negara.

Majlis penyampaian bantuan kewangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan PTPTN dan KPT dalam mencapai matlamat berkenaan selari dengan objektif penubuhannya untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam melanjutkan pengajian ke menara gading dan seterusnya menjadi modal insan untuk negara.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Puan Mastura binti Mohd Khalid, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Ali bin Selamat, barisan pengetua kolej kediaman UTM, dan wakil daripada kedua-dua pihak, PTPTN dan UTM.

Explore More