JOHOR BAHRU, 29 Jun – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Dato’ Onn Jaafar (JKM KDOJ) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UTMAlumni, Pusat Islam UTM, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) dan Sekretariat Rukun Negara UTM (SRN), giat berusaha memartabatkan Bahasa Melayu dan melestarikan penulisan Jawi melalui penganjuran Sayembara Bahasa Melayu 2024 peringkat kebangsaan.
Sayembara Bahasa Melayu 2024 berlangsung bermula pada 14 Mei 2024 dan telah melabuhkan tirainya pada 29 Jun 2024. Sayembara Bahasa Melayu 2024 mempertandingkan dua acara iaitu pertandingan mencipta dan mendeklamasikan sajak serta pertandingan penulisan esei Jawi. Kedua-dua pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 16 hingga 23 tahun.
Penganjuran Sayembara Bahasa Melayu pada tahun ini merupakan kali ketiga program ini diadakan. Walaupun begitu, sambutan terhadap pertandingan ini masih tetap hangat dalam kalangan pecinta bahasa dan penggiat seni tulisan Jawi. Penganjuran kali ini juga berjaya menarik penglibatan peserta dari seluruh Malaysia dengan 113 penyertaan. Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 31 penyertaan, manakala Johor, selaku tuan rumah, menghantar 10 penyertaan.
Tahun ini menyaksikan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Akmal Hasif Mohamad Sukri yang berusia 22 tahun, dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Sajak. Bagi Pertandingan Penulisan Esei Jawi, kemenangan diraih oleh Amni Nur Unaisah Mohd Kasim yang berusia 18 tahun dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Ma’arifil Wataniah 1, Pulau Pinang.
Menurut Muhammad Adhar Zorobi, timbalan pengarah program, “Penganjuran Sayembara Bahasa Melayu ini akan diusahakan untuk dianjurkan setiap tahun kerana ini merupakan salah satu inisiatif institut pengajian tinggi, khususnya universiti awam, dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan melestarikan tulisan Jawi yang merupakan khazanah negara Malaysia yang perlu semua pihak menggembleng usaha bersama-sama dalam memperkasakannya.”
Tambah Muhammad Adhar lagi, “Penyertaan yang diterima dari seluruh Malaysia ini menunjukkan usaha yang dilakukan mencapai matlamat dan tujuan Sayembara diadakan. Semoga Bahasa Melayu dan tulisan Jawi ini dapat dipelihara dan disebarluaskan ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus terus mekar dalam peredaran zaman dan tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan,” tambah beliau.