November 27, 2024

Search
Close this search box.
Peratusan tinggi mahasiswa  pascasiswazah yang berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan mendorong ramai  pelajar memilih UTM.

JOHOR BAHRU, 18 September 2012: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi Universiti Penyelidikan (RU) pertama di negara ini mencatat bilangan mahasiswa pasca siswazah melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan penuntutnya.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang, berkata bilangan mahasiswa pasca siswazah yang dicatatkan bagi pendaftaran sesi pengajian 2012/2013 yang berakhir 8 September lalu berjumlah 12,185 orang dan menjadikan UTM sebagai institusi pengajian tinggi di negara yang memiliki paling ramai mahasiswa pasca siswazah.

Menurutnya, jumlah mahasiswa pasca siswazah bersamaan 52.44 peratus mengatasi bilangan mahasiswa pra-siswazah yang berjumlah 11,049 iaitu 47.56 peratus, tidak termasuk 1,762 mahasiswa peringkat diploma.

“Perangkaan pendaftaran bagi kemasukan ke sesi 2012/2013 menunjukkan seramai 1,536 mahasiswa pasca siswazah terdiri daripada 373 PhD dan 1,163 Sarjana, manakala seramai 2,488 Sarjana Muda.

“Pencapaian ini mengatasi sasaran 11,500 mahasiswa pasca siswazah yang ditetapkan oleh UTM bagi tahun 2012 dan jumlah berkenaan dijangka meningkat memandangkan tempoh pendaftaran berlangsung sehingga 28 Sept 2012,” katanya.

Dr. Zaini berkata, UTM turut mencatat bilangan mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tertinggi di negara ini dengan jumlah 4,204 dan berada di tangga teratas bagi kategori universiti yang memiliki mahasiswa antarabangsa terbanyak dengan jumlah 4,630.

Katanya, faktor yang mendorong ramai pelajar mengikuti pengajian di peringkat pasca siswazah di UTM disebabkan peratusan meyakinkan mahasiswa yang menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan (graduate on time (GOT)).

“Sebanyak 65 peratus mahasiswa PhD menamatkan pengajian dalam tempoh empat di mana 35 peratus daripadanya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun.

“UTM telah mencapai sasaran memiliki 50 peratus bilangan mahasiswa pasca siswazah yang ditetapkan bagi RU di Malaysia lebih awal dari tempoh yang ditetapkan bagi audit RU di UTM pada tahun 2014,” katanya.

Beliau berkata, sasaran 50 peratus ini ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi audit sebagai petunjuk RU kerana mahasiswa pasca siswazah adalah kunci utama bagi negara negara berubah ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan berstatus negara maju.

Peningkatan bilangan mahasiswa pasca siswazah akan menyumbang kepada peningkatan hasil penyelidikan UTM, penerbitan jurnal berimpak tinggi, bilangan hak cipta (paten), meningkatkan peluang komersilisasi produk penyelidikan serta memantapkan keupayaan penyelidikan dan inovasi di institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mampu bersaing di peringkat global.

“Penyelidikan bertindak sebagai enjin pertumbuhan kerana pelabur akan beralih kepada aktiviti berintensif penyelidikan dengan peningkatan hasil penerbitan, hak cipta, pelesenan dan harta intelek.

“Pencapaian petunjuk RU ini menunjukkan UTM telah berjaya melonjakkan diri kepada tahap pencipta teknologi dalam sistem inovasi kebangsaan,” katanya.

Explore More